UMNO Tak Perlu Duri Dalam Daging

image-5SHAH ALAM – Parti Umno tidak memerlukan ahli yang mempunyai agenda sendiri kerana golongan sebegini ibarat duri dalam daging kepada perjuangan parti Umno.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Kelana Jaya, Maisham Maarof berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan bekas Exco Pemuda Umno, Mohd Rafiq Naizamohideen yang mengumumkan keluar Umno beberapa hari lalu.

“Bagi pandangan saya, itu hak peribadi beliau. Namun sekiranya beliau benar-benar ingin membantu atau berkhidmat untuk parti yang dicintainya sebelum ini, beliau boleh berkhidmat walaupun keahlian beliau digantung.

“Beliau (Rafiq) boleh sahaja tunjukkan sikap dan sifat solidariti beliau yang tidak berbelah bahagi kepada parti keramat ini dengan banyak cara seperti melalui NGO atau pertubuhan organisasi yang pro kepada Umno.

“Tetapi beliau menunjukkan siapa diri beliau yang sebenar setelah kedudukan dan jawatan beliau hilang,” katanya.

Maisham juga menegaskan, perjuangan Umno tidak terkesan dengan tindakan Rafiq serta dakwaannya akan ada lebih ramai ahli akan keluar Umno.

“Tindakan dan dakwaannya menunjukkan sikap sebenar beliau yang tidak matang dalam berpolitik dengan mengkritik Ketua Pemuda Umno atas tindakan yang dikenakan kepadanya.

“Umno mengalu-alukan mana-mana ahli yang tidak mempercayai perjuangan parti untuk keluar,” katanya.

-Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *