Tak Pernah Dapat Bantuan Walaupun Hidup Melarat

image-2TANAH MERAH – Bukan sedikit beban ditanggung suri rumah dari Kampung Alor Seloran, Bukit Mas, dekat sini, apabila terpaksa menjaga ibu dan seorang adik tanpa sebarang bantuan sejak lebih dua tahun lalu.

Bagi Sharifah Mat Lawi, 29, tanggungjawab itu cukup berat kerana kedua-dua insan kesayangannya itu orang kurang upaya (OKU) yang perlukan lebih perhatian selain dia sendiri ada empat anak perlukan penjagaan.

Sharifah berkata, ibunya, Rosiah Kamaruddin, 53, dikategorikan OKU kerana ada masalah mental, manakala adiknya, Mohd Roslan Mat Nawi, 25, cacat fizikal dan hanya mampu mengesot.

“Bukan kata tak pernah minta bantuan kebajikan untuk adik dan ibu sebab sudah beberapa kali kami hantar sendiri borang permohonan tetapi tak ada maklum balas.

“Sebelum ini pun, ada dua kali orang jabatan kerajaan berkenaan datang melawat ibu dan adik saya tetapi hasilnya sama juga, ‘senyap’ sampai sekarang,” dakwanya, kelmarin.

Sharifah berkata, mereka sekeluarga berharap sepenuhnya kepada pendapatan suaminya, Abd Karim Maeroh, 34, hasil menoreh getah.

“Selain belanja dapur dan wang sekolah dua anak, saya juga perlu berjimat untuk anak bongsu yang baharu berusia 10 hari,” katanya.

Justeru, katanya, dia amat berharap adik atau ibunya mendapat bantuan bulanan.

Sementara itu, nasib keluarga lapan beranak terbabit mendapat perhatian sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Nur Kasih.

Kunjungan diketuai Naib Pengerusi Nur Kasih, Hassan Daud bagi mewakili Pengerusi NGO itu, Dayang Saniah Awang Hamid.

Turut hadir, Bendahari Nur Kasih, Azmi Abu Bakar dan ahli jawatan kuasa, Hamidah Hussin.

Lawatan itu turut disertai kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tanah Merah yang menyerahkan sumbangan Tabung Bantuan Segera berjumlah RM300.

Nasib keluarga itu terutama Mohd Roslan atau lebih mesra dengan nama panggilan Pok Teh mula dapat perhatian selepas kisahnya disiarkan di laman sosial Facebook seorang aktivis kebajikan tempatan.

Dalam kunjungan pertama, aktivis terbabit menyerahkan bantuan kewangan dan barangan dapur sumbangan rakan-rakannya sebelum disusuli dengan bantuan barangan bayi untuk anak Sharifah pada kunjungan kedua.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Public Bank atas nama Sharifah Mat Lawi (4828499215) atau hubungi 010-5749788.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *