Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia Sokong Minuman Bergula Dikenakan Cukai

image-4KUALA LUMPUR 18 Okt. – Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) menyokong sekiranya kerajaan berhasrat melaksanakan cukai untuk minuman bergula (SSB) pada pembentangan Bajet 2017 Jumaat ini.

Bagaimanapun, Yang Dipertuanya, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, cukai tersebut haruslah dilaksanakan secara berperingkat dengan cadangan kadar minimum untuk dua tahun pertama.

Katanya, langkah mengenakan cukai itu dilihat sebagai positif dalam usaha memastikan rakyat tidak mengambil gula secara berlebihan, khususnya dalam minuman.

“Ketika ini, jumlah pesakit buah pinggang meningkat akibat pengambilan gula secara berlebihan. Peningkatan kadar obesiti juga adalah ketara dan boleh mengakibatkan penyakit seperti diabetes, darah tinggi serta serangan jantung yang menjadi `pembunuh’ rakyat Malaysia sejak kebelakangan ini.

“Perdim melihat langkah itu sebagai tepat memandangkan pengambilan gula secara berlebihan seumpama mengambil racun. Sekiranya pengurangan gula dapat ditangani dengan peningkatan cukai tersebut, setidak-tidaknya dapat membantu mengurangkan penyakit-penyakit seperti dinyatakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kerajaan sebelum ini pernah bercadang untuk melaksanakan cukai SSB yang diimport atau diproses di kilang sebagai langkah mengatasi penyakit diabetes namun belum ada sebarang keputusan mengenainya.

Mengulas lanjut, Ahmad Shukri menegaskan bahawa pelaksanaan cadangan itu perlu seiring dengan penguatkuasaan undang-undang bagi menangani aktiviti penyeludupan minuman bergula.

Katanya, Kementerian Kesihatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga harus proaktif memberikan pengajaran kepada masyarakat umum mengenai bahaya gula.

“Meskipun pihak kementerian telah kerap kali menasihatkan supaya pengambilan gula dikurangkan kerana kesan buruknya, namun saranan itu tidak dipedulikan. Sama seperti rokok, walaupun rokok bahaya tetapi masih ramai yang terus menghisapnya,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Ahmad Shukri berharap belanjawan berkaitan sektor kesihatan seperti subsidi ubat-ubatan kepada rakyat tidak mengalami pemotongan pada pembentangan Bajet 2017 demi mengurangkan beban yang terpaksa mereka tanggung. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *