Perjumpaan Tertutup UMNO Johor Dihadiri TPM

image-7JOHOR BAHRU 18 Okt. – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir dalam perjumpaan tertutup dan makan malam bersama-sama Badan Perhubungan UMNO Johor di Grand Paragon Hotel, di sini malam ini.

Naib Presiden UMNO itu hadir pukul 8.15 malam dengan diiringi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Menteri Besar.

Yang turut hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Md. Jais Sarday dan 24 daripada 26 ketua UMNO bahagian dari Johor.

Hanya Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Datuk Samsol Bari Jamali yang juga Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO negeri dan Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed tidak hadir kerana kedua-duanya berada di luar negara.

Utusan Malaysia difahamkan, antara mesej dan penekanan dalam perjumpaan selama lebih dua jam itu adalah perlunya ahli dan pemimpin UMNO di negeri ini terus bersatu padu dan menyokong kepimpinan tertinggi parti.

Baru-baru ini Barisan Nasional (BN) Johor terutama UMNO dikejutkan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Salleh keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Tindakan Shahruddin itu dikatakan akan disusuli tiga lagi ADUN UMNO yang akan menyertai pembangkang sekali gus langkah berkenaan akan mengakibatkan BN negeri hilang majoriti dua pertiga.

Selain itu, DAP mendakwa Johor akan mengadakan pilihan raya negeri tidak lama lagi bertujuan menyingkirkan pemimpin UMNO yang masih menyokong Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.-UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *