74% Rakyat Malaysia Ragui Perbankan Mudah Alih

imageKUALA LUMPUR 17 Okt. – Walaupun kebanyakan rakyat Malaysia bersikap terbuka kepada perbankan mudah alih, 74 peratus daripada pengguna masih ragu untuk melaksanakan aktiviti perbankan tertentu melalui peranti mudah alih dalam tempoh enam bulan akan datang disebabkan aspek keselamatan masih menjadi kebimbangan utama mereka, me­nurut Nielsen Holdings Plc.

Katanya, sebab utama lain yang menghalang mereka berbuat demikian termasuklah skrin peranti yang kecil (29 peratus), memilih untuk me­ngunjungi sendiri cawangan bank bagi aktiviti perbankan (29 peratus) dan ketiadaan akses internet yang stabil (15 peratus).

Selain menggunakan peranti mudah alih untuk membeli tiket wayang, tiket penerbangan atau penginapan hotel (35 peratus) katanya, sebahagian pengguna Malaysia juga menggunakan peranti mudah alih mereka untuk pengalaman teknologi kewangan mereka.

Ini merupakan dapatan utama daripada Laporan Nielsen me­ngenai Membeli-belah, Perbankan dan Pembayaran Mudah Alih, yang dikeluarkan baru-baru ini.

Nielsen berkata, hampir satu pertiga daripada responden me­nyatakan mereka menggunakan aplikasi perbankan/insurans (32 peratus) dalam tempoh enam bulan lepas dan turut membeli atau menjual saham/dana secara dalam talian (11 peratus) dan membeli produk insurans secara dalam talian (lima peratus) dalam masa setengah tahun yang lepas.

“Bagaimanapun, kira-kira dua pertiga daripada responden sanggup membuat atau meningkatkan jumlah pembayaran mudah alih jika ciri-ciri keselamatan dipertingkatkan (68 peratus),” menurut syarikat pengurusan prestasi global dalam kenyataan hari ini.

Menurut laporan tersebut, faktor lain yang akan mendorong pengguna Malaysia meningkatkan jumlah pembayaran mudah alih melalui peranti mudah alih yang mempu-­ nyai akses internet termasuk ketersediaan insentif, program kesetiaan atau ganjaran yang khusus untuk pengguna pembayaran mudah alih (55 peratus) dan pembayaran yang lebih pantas berbanding kaedah pembayaran tradisional (45 peratus).

Mengenai masa depan perbankan mudah alih, secara umum­nya, pengguna Malaysia ingin melihat ciri-ciri seperti teknologi pengimbas cek dan simpanan (51 peratus), kebolehan untuk berkomunikasi dengan bank melalui media sosial (39 peratus), dan sistem pengecaman wajah (38 peratus) dan pengecaman suara (38 peratus) dibangunkan sebagai sebahagian daripada aplikasi perbankan mudah alih pada masa depan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *