27 Tahun Jaga Cucu Sakit Mental

image-11KUALA TERENGGANU – Walaupun telah dimamah usia dan agak uzur, pasangan warga emas dari Kampung Surau Haji Daud, di sini, tetap tabah menguruskan cucunya yang menghidapi penyakit mental sejak berusia tujuh tahun.

Awang Omar, 81, berkata, dia terpaksa menguatkan semangatnya demi memelihara cucunya, Fairuz Azwan Ghani, 34, biarpun cucunya itu sering bertindak agresif dan pernah juga memukul isterinya, Bunga Ngah, 71 sewaktu sedang menyuap makan.

“Pak cik ada penyakit lelah dan penglihatan yang agak kabur. Buat waktu ini memang tak dapat lakukan sebarang pekerjaan. Tetapi, mengenangkan nasib malang menimpa dia, pak cik rasa kasihan dan berazam untuk jaga dia selagi mampu.

“Alhamdulillah, walaupun dia sering bertindak agresif dengan orang lain, dengan pak cik dia akan dengar kata dan arahan,” katanya ketika ditemui pada program lawatan Mobile Team oleh Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu (PPPNT), di sini, semalam.

Turut hadir pada lawatan itu, Pegawai Kemajuan Persekutuan Negeri Terengganu, Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi.

Terpaksa kurung dalam bilik khas

Menurut Awang, disebabkan tidak tahan dengan tindakan agresif cucunya itu, dia bertindak mengurung cucunya dalam sebuah bilik khas bagi memudahkan dia dan isteri menjaga dan memastikan cucunya itu tidak mengganggu orang lain.

Katanya, kos membina ruangan khas untuk cucunya itu dibelanjakan kira-kira RM4,000 bagi memastikan cucunya itu selamat dan tidak mengganggu orang lain.

“Dah hampir tujuh tahun pak cik kurung dia dalam bilik tu selepas bawa pulang dia dari hospital sakit jiwa. Dia keluar hospital pun sebab penjaga di hospital tak tahan dengan kelakuan dia yang sering mengganggu pesakit lain. Masa tu, dia sempat tinggal di hospital dalam 12 hari sahaja.

“Bila dia tinggal dalam bilik kurungan tu, mudah sikit nak mandikan dia, cuci najis dan beri makan. Mandi pun kena sembur dari luar sebab dia akan mengamuk. Makan pun dia hanya makan jika disuap, bila kita suap dia akan tarik tangan. Itu yang agak sukar nak jaga dia,” katanya.

Sementara itu, Bunga berkata, dia pernah dimasukkan ke hospital selama dua hari kerana mengalami kecederaan di kepala akibat dihantukkan ke simen oleh cucunya itu.

“Masa tu mak cik seorang diri dan nak beri dia makan dan nak menguruskan dirinya, tak sangka pula dia bertindak agresif dengan menghantukkan kepala mak cik ke simen. Pernah juga dia tarik tangan ketika mahu suap makan hingga terkehel.

“Dia selalu minta air, kalau kita beri, dia akan curahkan air dan baling cawan merata-rata sehingga pecah. Sebab itulah sekarang kalau nak beri dia minum guna cawan besi sahaja. Pinggan pun habis dilemparnya merata-rata,” katanya.

Jiran faham keadaan cucu

Menurut Bunga, jiran sekitar rumahnya memang tahu keadaan menimpa cucunya itu dan sering menasihati dia dan suami agar bersabar dan tabah.

“Kalau orang tak tahu memang akan ingat kita dera cucu, kita beri makan dan minum, cuma disebabkan penyakitnya itu dia akan buat perangai. Dia sering menjerit nak minum air, bila beri air dia akan curahkan kembali. Itu yang buat kita rasa agak kecewa.

“Beri baju pun dia tak nak pakai. Walaupun ada tandas dibuat, dia akan buang najis di merata tempat dan setiap hari pak cik akan bersihkan najis dan mencuci badannya,” katanya.

Ditanya sama ada pernah mencuba perubatan tradisional, katanya, sudah jenuh dan merata-rata tempat, namun penyakitnya tiada tanda-tanda untuk sembuh.

“Sebelum ini, waktu kecil ketika sebelum darjah satu dia tinggal bersama emaknya, selepas umur tujuh tahun, dia mula menampakkan perubahan pelik. Ketika itu emaknya meninggalkan dia di bawah jagaan kami.

“Dia tak sempat bersekolah kerana selepas itu penyakitnya semakin teruk sehinggalah sekarang. Ubat pun kami dah tak beri kepada dia sebab tidak menampakkan sebarang perubahan,” katanya.

Terima bantuan JKM

Sementara itu, Nik Nasarudin berkata, Fairuz Azwan telah menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan manakala Awang dan Bunga dalam proses permohonan bagi bantuan terhadap penjaga.

“Buat masa ini, pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan memberikan bantuan secara one –off kepada pasangan warga emas ini sebanyak RM3,000 setahun.

“Diharap dengan bantuan ini ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung mereka,” katanya.

Lawatan Mobile Team diadakan di rumah peserta eKasih bagi memberi bantuan, di samping mengenal pasti bantuan yang sesuai bagi peserta terpilih.

Pelaksanaan program itu sejajar dengan aspirasi kerajaan dalam usaha memastikan tiada pihak tercicir daripada menerima bantuan yang diperlukan dalam usaha membasmi kemiskinan di peringkat daerah.
-Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *