Permohonan Jabatan Peguam Bantah Semakan Akta Berita Tidak Benar, 21 Mei

KUALA LUMPUR, 14 Mei: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 21 Mei untuk mendengar bantahan awal terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar Akta Antiberita Tidak Benar 2018, sebagai tidak berperlembagaan, tidak sah dan terbatal yang difailkan Mkini Dotcom terhadap kerajaan.

Perkara itu dimaklumkan peguam N.Surendran yang mewakili Mkini Dotcom, kepada pemberita selepas pengurusan kes berkenaan di dalam kamar Hakim Datin Azizah Nawawi, yang turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Nik Syaril Nik Abd Rahman dan Maisarah Juhari.

Beliau berkata Jabatan Peguam Negara telah mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan berkenaan dan mahkamah juga menetapkan tarikh sama untuk mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman itu.

Dalam permohonan yang difailkan pada 27 April lepas, Mkini Dotcom selaku pemohon, menamakan kerajaan Malaysia dan Menteri Dalam Negeri, sebagai responden pertama dan kedua.

Pemohon memohon perisytiharan bahawa Akta Antiberita Tidak Benar 2018 adalah melanggar Perkara 5 dan Perkara 10 (1), yang dibaca bersama Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu melanggar perlembagaan serta harus diisytiharkan batal dan tidak sah.

Perkara 5 adalah berkaitan kebebasan individu manakala Artikel 10 (1) merangkumi kebebasan bersuara.

Mkini Dotcom berkata definisi berita tidak benar adalah apa-apa berita, maklumat, data dan laporan yang sebahagiannya atau keseluruhannya adalah palsu sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam sebarang bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.

Oleh itu pemohon mendakwa Akta tersebut meletakkan beban yang terlampau berat kepada mereka untuk memastikan setiap perkara yang diterbitkan melalui bentuk laporan atau pendapat adalah benar secara muktamad.–Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE