Tidak yakin Mahathir Mampu Ulangi Kehebatan Silam

LANGKAWI: Ahli UMNO di Langkawi nekad untuk mempertahankan kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN di pulau ini biarpun terpaksa berdepan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Biarpun masih menyimpan rasa hormat terhadap bekas Presiden UMNO itu, mereka lebih sayangkan parti dan masa depan Langkawi kerana hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu meneruskan kesinambungan pembangunan di pulau peranginan itu.

Justeru, mereka nekad untuk mempertahankan kedudukan BN di Langkawi sekiranya Dr Mahathir memutuskan untuk bertanding kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ketua Cawangan UMNO Kampung Bayas, Zainon Saidin, berkata faktor usia yang lanjut tidak menjamin Dr Mahathir boleh mengulangi sejarah silamnya sebagai peneraju negara yang hebat.

“Memang Tun Dr Mahathir tokoh yang patut dihormati kerana membangunkan Langkawi seperti sekarang, tetapi kita kena ingat beliau mampu melakukan semua ini sewaktu berada dalam UMNO.

“Pakatan pembangkang kini mencanangkan Tun Mahathir akan dilantik semula sebagai Perdana Menteri jika memenangi kerusi Parlimen Langkawi.

“Sedarkah mereka bahawa jawatan Perdana Menteri memerlukan tenaga yang banyak dan jadual padat, tak mungkin dapat digalas oleh individu berusia 93 tahun,” katanya.

Ekoran itu, Zainon berkata, kemajuan yang dicapai Langkawi ketika itu nanti, mungkin terbantut dan hasrat kerajaan menjadikan Langkawi muncul antara 10 pulau dan destinasi eko-pelancongan terbaik dunia akan terjejas.

“Malah, kami ahli UMNO akar umbi di Langkawi juga kecewa kerana Tun (Dr Mahathir) sanggup bersekongkol dengan DAP untuk menggulingkan kerajaan BN,” katannya.

Bagi Ketua Cawangan UMNO Kampung Sungai Itau, Matun Mahmud, hasrat bekas Perdana Menteri untuk merampas kerusi Parlimen Langkawi adalah perbuatan khianat kepada perjuangan UMNO yang beliau sama-sama perjuangkan sebelum ini.

“Sebagai ahli UMNO saya kecewa dengan tindakan Tun Dr Mahathir yang dilihat sanggup khianat kepada perjuangan parti yang pernah diterajuinya sebelum ini.

“Ketika beliau menghadapi saat sukar dalam kepimpinan UMNO, kami ahli akar umbi menjadi perisai dan menepis segala tohmahan, tetapi tidak sangka ini pula balasan beliau kepada penduduk Langkawi,” katanya.

Beliau percaya Dr Mahathir tidak akan mampu mengembalikan zaman kegemilangannya sebagai Perdana Menteri ketika berada di dalam UMNO dahulu, selepas memilih untuk bersekongkol dengan pembangkang.

“Rakyat Langkawi jangan keliru dalam soal ini. Jika tidak di bawah BN, beliau (Dr Mahathir) tidak akan mampu membangunkan Langkawi kerana hanya wakil rakyat BN yang mampu membawa kemajuan di pulau ini,” katanya.

Mereka berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi Dr Mahathir memutuskan untuk bertanding kerusi Parlimen Langkawi.

Beliau dijadualkan menghadiri majlis jelajah parti pembangkang di Padang Mat Sirat, Langkawi malam ini dan dipercayai akan membuat pengumuman penting pada ceramah berkenaan.-Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE