Raja Bomoh Bertanding Calon Bebas di Bagan Datuk

IPOH: Presiden Persatuan Seni Silat Gayung Ghaib Malaysia (PSSGGM), Ibrahim Mat Zin, 68, atau lebih dikenali sebagai ‘Raja Bomoh Malaysia’ ,hari ini mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Bagan Datuk sebagai calon bebas.

Ibrahim berkata, selain beliau terdapat 26 lagi ahli PSSGGM akan bertanding sebagai calon bebas di seluruh negara dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kali ini.

Menurutnya, di Perak dua calon akan bertanding membabitkan dirinya dan timbalannya, Leman Kanaullah, 55, yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor.

“Ini bukan gimik untuk kami bertanding di kerusi yang disandang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

“Buat masa ini tiada niat untuk menarik diri apabila menjelang hari penamaan calon nanti dan kami tidak gentar untuk bertanding serta kemungkinan hilang wang pertaruhan,” katanya dalam sidang media di sebuah hotel di sini, hari ini.

Leman, yang juga dikenali sebagai ‘Badang Malaysia’, turut hadir dalam sidang media berkenaan.

Ibrahim berkata, kesediaannya bertanding dalam PRU-14 bukan atas paksaan sesiapa, namun adalah dari nalurinya sendiri yang ingin menabur bakti kepada rakyat terutama di Bagan Datuk iaitu tempat kelahirannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE