PRU-14: Nik Omar Tolak PAN

KOTA BHARU 15 April – Anak kedua kepada Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar menegaskan beliau tidak akan menyertai PAN atau gagasan pembangkang PKR apatah lagi untuk bertanding atas tiket parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Nik Omar berkata, ini kerana beliau tidak mendapat keizinan ibunya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak untuk aktif berpolitik.

Beliau yang mengakui mempunyai minat untuk menyertai politik hasil didikan bapanya yang juga bekas Menteri Besar dan Mursyidul Am Pas berkata, restu ibu adalah keutamaan dalam setiap keputusan hidupnya.

“Semua bergantung kepada bonda, selagi bonda tidak izin, bonda minta tidak terlibat, kita kena terima, bonda melihat mungkin kerana berlaku pertembungan.

“Bila ditanya kenapa (izin) bonda?, saya nak tunjuk apa jua yang kita lakukan pentingnya mendapat keizinan dan restu ibu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi PAN negeri, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang mahu mencalonkan Nik Omar bagi mewakili parti itu dan gagasan pembangkang PKR dalam PRU-14.

Malah abang kepada Ahli Parlimen Pasir Mas daripada Pas, Nik Mohd. Abduh itu juga calon kedua selepas Penasihat PAN Kelantan, Husam Musa untuk menjadi Menteri Besar jika gabungan pembangkang PKR menang dalam pilihan raya umum ini di negeri ini.

Nik Omar berkata, beliau adalah ahli Pas seumur hidup namun mempunyai pandangan yang berbeza dan cenderung kepada permuafakatan dengan parti-parti pembangkang yang lain.

“Kalau tanya, saya juga pangkah Pas, tetapi saya melihat untuk menang dalam politik kita mesti dalam gabungan.

“Sekarang ni Pas sendiri, Pas itu kuat, tetapi gabungan itu tidak kuat, itu yang saya tekankan dan Pakatan Harapan memiliki gabungan yang kuat dengan empat parti memiliki kekuatan masing-masing,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE