Pilih Pemimpin Bukan Macam Beli Biskut

KUALA LUMPUR: Pengundi diingatkan supaya memilih pemimpin yang sentiasa dekat dengan masyarakat supaya sebarang permasalahan setempat dapat diselesaikan dengan mudah.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata bagaimanapun pemilihan pemimpin yang tepat tidak semudah seperti membeli beras.

“Katakanlah beras cap A yang dibeli tak sedap, bila habis kita boleh beli cap B dan tukar lagi ke cap C atau D sehingga jumpa beras yang menepati dengan cita rasa kita.

“Bila sudah jumpa jenama yang sedap, kita takkan guna jenama lain dan kekalkan penggunaan beras yang sama.

“Bagaimanapun, kalau kita silap pilih pemimpin, kita kena tunggu lima tahun lagi untuk ganti yang baru,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan kelengkapan dan peralatan berniaga kepada 70 usahawan kecil menerusi program DJ Niaga di Dewan Komuniti Flat Desa Pandan, di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan II berkata, tiada kerajaan yang sempurna dalam dunia namun penambahbaikan dan pembetulan dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) seiring dengan peredaran masa.

“Kalau ada kesilapan, kami akan betulkan malah strategi juga akan ditukar mengikut kesesuaian.

“Insya Allah, kalau saya diberikan kepercayaan untuk bertanding kali ini, kita tunggu,” katanya yang yakin masih mampu meraih sokongan pengundi sekiranya dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Titiwangsa pada PRU ke-14 (PRU-14) nanti.-Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE