Peniaga Rugi RM46,248 Ditipu Pelaburan Ternak Ayam

RAUB: Seorang peniaga kerugian RM46,248 disyaki terperdaya dengan tawaran pelaburan dalam projek ternakan ayam yang menjanjikan pulangan tinggi.

Wanita berusia 34 itu bersama kenalannya dikenali sebagai Andy, dikatakan berjumpa seorang lelaki dipanggil Awai, Februari tahun lalu, sebelum ditawarkan untuk melabur dalam projek ternakan ayam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa berjumpa dengan Awai di tempat ternakan ayam di Sungai Ruan di sini, yang dikatakan disewa oleh lelaki itu.

“Pada Mac tahun lalu, Andy didakwa memberitahu wanita itu jika mahu menjadi rakan kongsi pasif (sleeping partner) dalam projek ternakan ayam bersamanya dan Awai, mangsa perlu melabur sebanyak RM12,000 dan dia bersetuju,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Berikutan itu, beliau berkata, mangsa dikata memasukkan wang ke dalam beberapa akaun diberikan oleh suspek, dengan keseluruhannya berjumlah RM46,248.

“Selain pelaburan, wang dimasukkan oleh mangsa juga untuk perkara lain seperti membeli makanan ayam, anak ayam dan barang lain untuk ternakan,” katanya.

Bagaimanapun pada Ogos tahun lalu, beliau berkata, Awai didakwa menghubungi mangsa dan memaklumkan projek ternakan ayam itu mengalami kerugian tetapi semuanya ditanggung oleh suspek.

“Namun selepas itu, Awai didakwa memberi pelbagai alasan apabila mangsa bertanyakan projek ayam berkenaan kerana tidak mendapat sebarang pulangan daripada kerjasama terbabit.

“Mangsa yang tidak berpuas hati dan disyaki ditipu kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub di sini, semalam,” katanya.

Mohd Wazir berkata, modus operandi suspek dipercayai memperdaya mangsa dengan menawarkan pelaburan dalam projek ternakan ayam tetapi selepas pembayaran dibuat, suspek memberi pelbagai alasan dan gagal dihubungi.

“Kita sudah merakam percakapan mangsa dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan,” katanya.-Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE