Pengedar Dadah Ditahan 54 Peluru Dirampas

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang ahli sindiket pengedaran dadah sebelum merampas sepucuk pistol bersama 54 butir peluru hidup dan 8.09 kilogram dadah bernilai RM566,000 dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Tangkak pada 11 April lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, lelaki warga tempatan berusia 47 tahun itu ditahan sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman pada 6 April lalu di sekitar Tangkak.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah selain ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah.

Katanya, susulan tangkapan itu, pasukan khas berkenaan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak mengadakan serbuan di sebuah rumah kedai bermula jam 3.40 petang hingga 9.30 malam pada 11 April lalu.

“Menerusi serbuan itu, polis menemui bekalan syabu seberat 8.09 kilogram dipercayai bagi menampung kira-kira 4,000 penagih selama sebulan.

“Polis juga menemui pistol jenis Stoeger Cougar 8000 Beretta, satu kelopak peluru berisi empat peluru hidup, lima kelonsong peluru dan 50 peluru hidup.

“Pada masa sama, pasukan berkenaan menemui satu mesin pencetak pil ecstasy di premis berkenaan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Derma Darah sempena Hari Polis Ke-211 di Paradigm Mall, di sini, hari ini.

Mohd Khalil berkata, suspek kini ditahan reman sehingga 20 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8/8A Akta Senjata Api Lebih Berat 1971.

Katanya, sejak Januari lalu, polis Johor berjaya melumpuhkan empat sindiket pengedaran dadah dan mengalu-alukan bantuan orang ramai menyalurkan maklumat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE