Pemasangan Bendera Cedera Kemalangan

MARANG: Tiga cedera apabila terbabit dalam satu kemalangan ketika masing-masing sedang dalam perjalanan memasang poster dan bendera parti, kelmarin.

Kemalangan berlaku ketika mangsa iaitu Wan Mohd Khairu Affendy Wan Sulong, 35 dan dua rakannya, Mohd Syazwan Hajis, 33 serta Mohd Fikri Hajis, 22, dalam perjalanan untuk memasang bendera serta poster di Padang Midin, kira-kira jam 1.30 pagi.

Wan Mohd Khairu yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO cawangan Kampung Kubang Panjang, di sini, berkata, motosikal dinaikinya dilanggar Mohd Fikri berhampiran lampu isyarat di Padang Maidin ketika dalam perjalanan ke Kampung Telaga Mengkudu untuk memasang bendera dan poster.

Katanya, motosikal dinaikinya dilanggar Mohd Fikri yang sedang mengekorinya ketika cuba mengelak daripada melanggar batu di bahu jalan dilokasi kejadian.

“Ketika itu, Mohd Fikri yang sedang mengekorinya melihat sekumpulan lelaki sedang memasang bendera dan tidak sedar saya cuba memperlahankan motosikal bagi mengelak daripada melanggar batu lalu merempuh motosikal dinaiki.

“Berikutan rempuhan itu, saya dan Mohd Syazwan yang membonceng motosikal ditungganginya tercampak ke atas jalan,” katanya kepada NSTP ketika ditemui di kediaman Mohd Fikri di Kampung Kubang Panjang, di sini.

Berikutan kemalangan itu, Wan Mohd Khairu mengalami kecederaan pada pinggang dan lengan, manakala Mohd Syazwan dan Mohd Fikri calar pada muka dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Bagaimanapun, mangsa tidak melaporkan kejadian itu kepada polis.

Sementara itu, pegawai penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat, Datuk Saiful Bahri Datuk Baharuddin berkata, semua jentera pilihan raya terutamanya membabitkan petugas pemasangan bahan kempen mengutamakan keselamatan.

“Dalam kegairahan semua jentera melaksanakan tugas pemasangan bahan kempen, mereka perlu menjaga dan mengutamakan keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika melawat dan menzairahi Mohd Syazwan di Kampung Kubang Panjang, Alor Limbat, semalam.-Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE