PAS Tanding 9 Kawasan di Wilayah Persekutuan

PUTRAJAYA: PAS Wilayah Persekutuan bersama Gagasan Sejahtera bakal menampilkan calon wanita di salah satu daripada sembilan kerusi yang akan ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad, berkata nama calon dan kawasan Parlimen yang bakal ditandingi calon wanita itu akan diumumkan Khamis ini.

Sembilan kawasan yang akan ditandingi ialah Batu, Wangsa Maju, Setiawangsa, Titiwangsa, Bandar Tun Razak, Lembah Pantai, Segambut, Putrajaya dan Labuan.

“Senarai nama semua calon sudah dimuktamadkan dan akan diumumkan pada 19 April ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Manifesto PAS Wilayah Persekutuan PRU-14 di sini, malam ini.

Wilayah Persekutuan mempunyai 13 kawasan Parlimen. Empat lagi kawasan Parlimen ialah Kepong, Cheras, Seputeh dan Bukit Bintang.

Mengenai khabar angin mengaitkan beliau bakal bertanding di Putrajaya, Mohamad Noor tidak menolak kemungkinan berkenaan.

“Boleh jadi, kita tunggu 19 April ini,” katanya.

Pada PRU-13, PAS mempertaruhkan calonnya di tiga kerusi Parlimen iaitu Putrajaya, Labuan dan Titiwangsa, namun tewas semua kerusi ditandingi itu kepada calon Barisan Nasional (BN).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE