MCA Ambil Tindakan Undang-Undang

SEREMBAN: MCA Negeri Sembilan akan mengambil tindakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat tidak benar, bertujuan mengganggu perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon, berkata ia berikutan penyebaran beberapa maklumat menerusi laman media sosial mengenai cara memangkah kertas mengundi sejak minggu lalu.

Katanya, pihak terbabit didakwa menunjukkan cara memangkah kertas undi sehingga terkena setiap penjuru kotak dan dikira salah jika tidak menyentuh kotak.

“Cara itu cuba membuatkan orang ramai memangkah berhati-hati tetapi akhirnya terkeluar dari kotak lalu berlaku banyak kertas undi rosak.

“MCA berbincang dengan Biro Undang-Undang untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut Akta Antiberita Tidak Benar 2018, bagi mengekang penyebaran maklumat tidak benar itu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sin Woon berkata, berlaku juga penyebaran maklumat meminta orang ramai tidak mengunjungi pusat hiburan beberapa hari sebelum hari mengundi kerana bimbang ditangkap polis.

Katanya, tindakan itu didakwa hanya akan dibuat terhadap masyarakat Cina supaya mereka tidak dapat mengundi.

“Ada juga maklumat kononnya meminta orang ramai memeriksa lokasi mengundi dan hanya ke pondok Barisan Nasional (BN) dengan berpura-pura menyokong parti itu.

“Ia kononnya membolehkan BN meneka bilangan mengundi dan jika melihat kekurangan pengundi, ada pihak akan menambah kertas undi di dalam peti undi.

“Semua perkara itu tidak benar dan pihak terbabit dilihat cuba mengganggu perjalanan PRU-14 dengan pelbagai cara jahat. Saya berharap tindakan sewajarnya dapat diambil sekali gus dapat mengembalikan PRU yang bersih,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE