Manifesto BN Harapan Yang Realistik

Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menyentuh kepentingan seluruh masyarakat bukan sekadar memberi harapan semata-mata sebaliknya merupakan janji- janji yang realistik untuk dilaksanakan.

Exco Pemuda UMNO, Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, situasi tersebut berbeza dengan Pakatan Harapan diketuai DAP apabila manifesto mereka dilihat hanya sekadar memberi harapan kepada rakyat.

Katanya, kerajaan BN sentiasa komited menunaikan janji yang dibuat termasuk melaksanakan hampir 100 peratus janji kepada rakyat pada pilihan raya lalu.

“Manifesto BN bukan sahaja harapan malah ia manisfesto yang relevan daripada sudut perlaksanaanya. Ia bukan seperti manifesto pembangkang yang hanya sekadar harapan yang tidak logik untuk dilaksanakan termasuk janji untuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST), tol dan pelbagai perkara lagi yang tidak munasabah.

“Kita lihat di Selangor, Pulau Pinang berapa peratus komitmen mereka untuk melaksanakan janji yang dibuat pada pilihan raya lalu jika hendak dibandingkan dengan BN yang melaksanakan hampir keseluruhan janji dalam manifestonya,” katanya.

Beliau mengulas manifesto BN yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini yang bersifat inklusif dengan menyentuh segenap lapisan masyarakat.

Bertemakan Bersama BN, Hebat Negaraku, manifesto tersebut menggariskan sebanyak 14 teras dan 364 inisiatif yang memberi banyak manfaat kepada rakyat di seluruh negara.

Paling mencuri tumpuan apabila Perdana Menteri mengumumkan tambahan bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada semua penerima sedia ada serta mewujudkan satu lagi kategori penerima baharu selain menjanjikan tiga juta peluang pekerjaan baharu.

Sementara itu, Fathul Bari berharap manifesto yang dikemukakan BN itu dapat membuka mata seluruh rakyat untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan yang sentiasa berusaha memperhebatkan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE