Juventus Kian Hampiri Kejuaraan Serie A

MILAN: Juventus semakin menghampiri kejuaraan ketujuh berturut-turut gelaran Serie A selepas menewaskan Sampdoria 3-0 semalam, sekali gus menjarakkan kedudukan enam mata di depan Napoli yang kecewa dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang AC Milan.

Kejuaraan mungkin boleh diputuskan pada Ahad ini, apabila Juventus dan Napoli bertembung pada aksi dua pasukan teratas liga di Turin.

Malah ia mungkin mampu dikecap lebih awal oleh Juventus sekiranya mampu menang ke atas Crotone pada Rabu ini, dan dalam masa sama Napoli pula tewas kepada Udinese di laman sendiri.

“Napoli mengharungi kempen yang penuh sensasi. Mereka masih berada di sana dan saya rasa dua perlawanan akan datang ini adalah menjadi penentuan bagi Scudetto,” kata jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri.

“Kami sudah pasti bukanlah pasukan pilihan bagi memenangi Scudetto. Saya rasa mahu berterima kasih kepada semua kerana bukan mudah untuk memenangi seperti ini selepas pengalaman menyedihkan di Liga Juara-Juara.”

Juventus menunjukkan mereka sudah melupakan apa yang terjadi dalam saingan Liga Juara-Juara selepas tewas kepada Real Madrid minggu lalu apabila penonton mereka meletakkan kain rentang “Kami bangga dengan anda” dan tepukan buat kapten, Gianluigi Buffon yang dibuang padang di Madrid.

Pemain Brazil, Douglas Costa adalah kunci kejayaan perlawanan selepas masuk daripada bangku simpanan bagi menggantikan Miralem Pjanic dengan membantu semua tiga jaringan.

“Douglas Costa memang mahu di masukkan, bukanlah seawal itu tetapi ia adalah sebahagian daripada perancangan,” kata Allegri.

“Kami bermain dengan penuh fokus, tenang dan bijak. Kemudian Pjanic melakukan selebihnya! Dia mengalami kecederaan paha dan lebih baik baginya untuk dikeluarkan.” – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE