Gugurkan Seng Giaw, Bukti DAP Ketepikan Kebenaran Isu 1MDB

PADANG TERAP 15 April – Tindakan DAP mengenepikan Naib Pengerusinya, Dr. Tan Seng Giaw daripada terus menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 membuktikan betapa parti itu tidak mementingkan fakta dan kebenaran bagi mencapai cita-cita untuk merampas kuasa di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ‘hukuman’ yang dijatuhkan terhadap Seng Giaw itu juga tidak mustahil akan berlaku terhadap mana-mana individu dalam parti tersebut mahu pun sekutu mereka sekiranya masing-masing gagal untuk mengikut rentak kepemimpinan tertinggi dalam usaha mengelirukan rakyat.

“Selepas lapan penggal menjadi Ahli Parlimen Kepong, akhirnya Seng Giaw digugurkan semata-mata kerana beliau bercakap benar. Sebagai Naib Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), sudah tentu beliau tahu apa yang berlaku dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan itulah yang dipertahankan sejak dulu hingga kini.

“Tetapi begitulah DAP. Apabila ada seseorang memberi kenyataan yang tidak mereka sukai, biar pun indvidu itu bercakap benar, orang itu akan ada masalah dengan mereka dan dalam kes ini Seng Giaw menjadi mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Sokongan Komuniti Untuk Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang di sini, hari ini.

Dalam sebuah kenyataan di laman Twitter Roketkini baru-baru ini, DAP mengumumkan tempat Seng Giaw sebagai calon Parlimen Kepong akan diambil alih Lim Lip Eng yang dipindahkan dari Parlimen Segambut.

Pengguguran itu dipercayai berlaku kerana Seng Giaw terus mempertahankan pendiriannya selama ini bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak terlibat dalam kelemahan pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga mengundang kemarahan pemimpin tertinggi DAP.

Sementara itu katanya, kesemua 6,971 sekolah yang menjadi pusat mengundi pada PRU-14 boleh memohon cuti berganti pada 8 Mei depan.

“Mengikut Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil. 2/1995 Persediaan Bagi Pilihan Raya Umum, pihak sekolah yang akan dijadikan sebagai pusat mengundi boleh memohon cuti berganti bagi tujuan membuat persiapan dan persediaan oleh pihak berkuasa.

“Permohonan boleh dibuat oleh pihak pengurusan sekolah melalui pengarah pendidikan negeri masing-masing,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE