Dunia Iktiraf Kaedah Malaysia Bantu Rakyat Miskin

Gambar Dari Berita Harian

PEKAN: Dunia mengiktiraf dan menganggap Malaysia negara paling berjaya membantu rakyat miskin menambah pendapatan isi rumah sehingga memiliki harta dan perniagaan berjaya, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, inisiatif kerajaan membantu meningkatkan taraf ekonomi dan pendapatan bulanan kumpulan itu dimulakan secara berterusan sejak zaman Perdana Menteri Kedua, Tun Razak Hussein.

Beliau berkata, bermacam-macam program dan bantuan diperkenalkan kerajaan menerusi beberapa agensi seperti FELDA, FELCRA, Majlis Amanah Rakat (MARA), Tekun Nasional (TEKUN) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Katanya, bantuan pembiayaan kewangan dan latihan kemahiran itu menjadi rangsangan kepada golongan terbabit bagi memulakan perniagaan yang mahu diceburi.

“Menjadi pegangan dan prinsip kerajaan sekarang bagi meningkatkan ekonomi rakyat miskin terutama di luar bandar.

“Pinjaman yang disediakan ini ibaratnya seperti bayi yang mula bertatih, kemudiannya berjalan dan berlari begitu juga kita ada pinjaman asas seperti disediakan AIM kemudian oleh MARA, TEKUN dan Bank SME untuk kembangkan perniagaan.

“Bayangkan jika tiada bantuan sedemikian bagaimana mereka mahu mulakan perniagaan mungkin jadi mangsa ceti haram atau along,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Himpunan Usahawan Amanah Ikhtiar Islam Malaysia (AIM) Parlimen Pekan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi AIM, Datuk Dr Zubir Harun dan Pengerusi Kelab Usahawan Ikhtiar dan Kesukarelawan Pekan, Nor Ashikin Abu Hassan.

Kira-kira 2,600 usahawan AIM hadir pada himpunan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, di sini.-Berita Harian

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/04/412331/dunia-iktiraf-kaedah-malaysia-bantu-rakyat-miskin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE