Dana RM90j: PAS Enggan Ganggu Proses Perundangan

KUANTAN, 15 Apr: Tindakan pimpinan PAS tidak membuat penjelasan berhubung dakwaan parti itu menerima wang RM90 juta daripada UMNO adalah atas dasar enggan mengganggu proses perundangan kes itu di Mahkamah Tinggi London.

Naib Presiden PAS Datuk Nik Amar Nik Abdullah berkata peguam mereka memberi nasihat itu kerana kes saman yang dibuat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Sarawak Report dijadualkan untuk perbicaraan pada 30 April ini.

Beliau berkata setakat ini, pihak yang membuat dakwaan itu juga masih tidak dapat mengemukakan bukti bahawa PAS ada menerima wang tersebut yang kononnya diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menarik sokongan parti itu.

“Pasal PAS bergabung dengan UMNO ini, sudah 10 tahun saya dengar sepanjang berada di PAS Pusat. Kita dalam mesyuarat di peringkat pusat tidak pernah bincang tentang bergabung dengan UMNO.
Kita bertanding di semua kerusi UMNO, tak akan hendak kata kita nak bergabung dengan dia?

“Takkan UMNO nak beri kita duit untuk lawan dia? Tidak ke bodoh kalau buat begitu? katanya pada ceramah ‘Anda Tanya PAS Jawab’ di sini malam tadi.

Nik Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan juga berkata PAS tidak mungkin berbaik dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun beliau meminta maaf dan bertaubat memandangkan ia umpama ‘taubat di akhir-akhir nafas’ mengambil kira keadaan pilihan raya yang semakin hampir dan terdesak untuk meminta maaf atas kesalahannnya dahulu.

“…ada sedikit sebanyak jasa dia (Dr Mahathir) kita tak nafikan tapi zaman itu sudah berlalu. Kalau hebat bermain bola sekali pun, bila umur sudah 40 tahun ke atas sudah patut berundur. Sebab itu kalau kita pilih PH, kita macam berundur ke belakang.

Ibaratnya kita hendak berlumba di litar Sepang perlukan adrenalin yang tinggi tapi kita ambil orang umur 93 tahun… macam mana kita hendak bertanding?,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Jabar yang turut hadir di majlis itu mengesahkan tiada calon import popular akan mewakili parti itu pada pilihan raya umum akan datang kerana parti itu cuma ada calon anak tempatan, calon bukan Islam dan calon muslimah.

PAS akan bertanding di semua 14 kerusi Parlimen di Pahang dan meletakkan 40 calon daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), katanya.

Sementara itu, anggota jawatankuasa PAS Pusat Dr Fuad Salleh menempelak dakwaan mengatakan Pas sudah tidak mempunyai golongan profesional selepas kononnya golongan itu memilih untuk keluar parti dan menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah) pada tahun 2015.—Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE