Cucu Shamsiah Fakeh Tanding di Kampung Tunku?

Jamaliah Jamaluddin (kanan), pembantu khas Yeo Bee Yin (kiri), dalam satu majlis sambutan Hari Raya tahun lalu. — Foto ihsan Facebook/Aaliah
Jamaliah Jamaluddin (kanan), pembantu khas Yeo Bee Yin (kiri), dalam satu majlis sambutan Hari Raya tahun lalu. — Foto ihsan Facebook/Aaliah

KUALA LUMPUR, 15 April — Cucu pejuang nasionalis kiri Shamsiah Fakeh diura-ura akan bertanding atas tiket DAP dalam pilihan raya umum kali ini.

Jamaliah Jamaluddin, pembantu khas penyandang kerusi Damansara Utama Yeo Bee Yin, disebut-sebut bakal mempertahan Kampung Tunku.

Kerusi negeri itu dimenangi oleh Lau Weng San dengan majoriti 13,685 undi. Sementara Lau pula berpindah ke kerusi Banting, dulu dikenali Teluk Datuk.

Sumber-sumber DAP berkata pencalonan Jamaliah, seorang ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sudah “hampir pasti”.

“Jamaliah dan lima lagi muka baru 95 peratus akan dicalonkan mewakili DAP di kerusi DUN Selangor,” kata satu sumber ketika dihubungi ProjekMMO.

Dalam parlimen Petaling Jaya Utara, Kampung Tunku mempunyai kira-kira 20 peratus pengundi Melayu, 67 peratus Cina dan 12 peratus India.

Kerusi parlimen ini, sekarang Damansara, dimenangi DAP dengan 44,672 undi.

Menurut sumber lagi, selain pemimpin wanita DAP itu, ahli jawatankuasa DAP Selangor Edry Faizal Yusof, 33, pula bakal dicalonkan di kerusi Dusun Tua.

“Dusun Tua sepatutnya Young Syefura [Othman] bertanding tapi disebabkan beliau diumumkan di Ketari, Edry bakal mengisi kerusi itu,” katanya.

Dusun Tua buat pertama kali ditembusi pembangkang pada 2013. Kini tidak bersama gabungan pembangkang, PAS memenangi kerusi itu dengan 4,071 undi.
Dalam parlimen Hulu Langat, kerusi negeri ini mempunyai pengundi Melayu kira-kira 53 peratus, Cina (37 peratus) dan India (7 peratus).

Empat lagi muka baru DAP yang disebut-sebut bakal dicalonkan seperti berikut: Lim Yi Wei di Bandar Utama, Michelle Ng (Subang Jaya), Lai Wai Chong (Teratai) dan Tony Leong (Pandamaran).

Lau bakal mempertahan kerusi DAP, bawah parlimen Kuala Langat, yang dimenangi DAP dengan kelebihan 5,391 undi.

Menang kerusi itu yang kini dikenali Bandar Utama dengan 30,689 undi, Yeo pula diumumkan berpindah untuk mempertahan parlimen Bakri di Johor.

Pada 2013, penyandangnya Er Teck Hwa menang 5,067 undi, meningkat daripada 722 undi pada pilihan raya lima tahun sebelumnya.

Subang Jaya dimenangi calon DAP Hannah Yeoh dengan majoriti 28,069 undi. Beliau, speaker DUN Selangor, bakal bertanding di parlimen Segambut.

Kerusi Teratai juga menjadi milik DAP dengan majoriti 13,646 undi. Pandamaran pula dikuasai parti itu dengan kelebihan 9,176 undi.

Satu sumber dalaman DAP menjangkakan enam nama baru ini akan diumumkan dalam masa terdekat.

Namun satu sumber lagi menyatakan nama mereka belum dimuktamadkan dan tidak dapat diumumkan dalam masa terdekat.

“Kerusi belum habis dibincang,” katanya. “Belum ada pengumuman rasmi daripada DAP untuk sebarang kerusi di Selangor.”.Malay Mail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE