Bank Dunia 4 Kali Semak Naik KDNK Malaysia

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang dinaikkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) oleh Bank Dunia sebanyak empat kali dalam tempoh 16 bulan sejak tahun lalu.

Perdana Menteri berkata, ia membuktikan Malaysia berada di landasan tepat menjadi negara yang berjaya pada masa hadapan menerusi perancangan teliti oleh kerajaan yang ditadbir oleh Barisan Nasional (BN).

Katanya, Malaysia kini mempunyai ciri-ciri menjadi negara paling berjaya di dunia yang dapat dilihat di merata tempat seperti kejayaan menyiapkan projek Transit Aliran Massa (MRT) sepanjang 52 kilometer (km) dengan lebih cepat serta di bawah unjuran kos asal.

“Bagi kawasan Pantai Timur, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini dalam pelaksanaan yang dijangka siap tahun 2022, ia akan merentasi Pahang dari Bentong ke Kota SAS dan naik ke Cherating, ia akan membawa pertumbuhan kasar sebanyak 1.5 peratus. Walaupun Pekan tidak termasuk dalam laluan, limpahannya akan tetap dikecapi warga Pekan kerana kedudukan Pekan berhampiran dengan Kuantan.

“Baru-baru ini Bank Dunia menaikkan unjuran (KDNK kepada 5.4 peratus) dan ia adalah kali keempat dalam tempoh satu tahun empat bulan (16 bulan sejak tahun lalu hingga sekarang), …tiada negara di dunia dinaikkan unjuran sebegitu seperti Malaysia,” katanya berucap pada pelancaran projek naik taraf jalan persekutuan sepanjang 14.7km dari bandar ini ke Sungai Miang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, BN akan terus berpegang kepada prinsip dan falsafah berkongsi kekayaan dengan rakyat terutama dengan kumpulan B40 serta M40 apabila hasil negara bertambah untuk berlaku adil dan saksama.

“Apabila kita mengumumkan Bajet 2018, harga minyak dunia sekitar AS$52 (RM201. 76) setong dan sekarang sekitar AS$67 (RM259.96) setong, kutipan Cukai Barang Dan Perkhidmatan (GST) dan cukai korporat bertambah baik berikutan ekonomi baik, …maka kita putuskan untuk mengagihkannya semula kepada rakyat.

“Pada 7 April lalu, saya sudah mengumumkan berita baik BR1M ditambah 100 peratus, mulai Jun dan Ogos depan jumlahnya bertambah daripada RM400 kepada RM800, ..kita wujudkan kategori baharu untuk individu berpendapatan RM4,000 ke RM5,000,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan hasil negara dan perkongsian kekayaan dengan rakyat itu dapat dicapai berikutan kecekapan kerajaan di bawah pentadbiran BN menguruskan ekonomi.

“Oleh itu yakinlah yang kita sentiasa mengotakan janji dan mendahulukan rakyat, kita tidak main janji yang akhirnya tinggal janji sahaja dan tidak menunaikannya,” katanya.-Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE