Tindakan Undang-Undang Jika Guna Bahan Binaan Dilarang – Noh

MARANG, 15 Feb: Tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pihak yang didapati menggunakan bahan binaan yang dilarang oleh Jabatan dan Bomba dan Penyelamat (JPBM) pada kediaman atau premis, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang ingin membuat pengubahsuaian pada kediaman atau premis milik mereka agar merujuk kepada JPBM bagi memastikan bahan binaan yang digunakan tidak melanggar undang-undang.

“Kalau nak buat pengubahsuaian rumah, nak bagi cantik rumah, tolong gunakan bahan binaan yang diluluskan oleh bomba… boleh rujuk kepada Bomba.

“Kita tidak mahu kejadian kebakaran yang mengorbankan 70 penduduk di London di mana bangunan itu menggunakan ‘cladding’ iaitu bahan mudah terbakar,” katanya mengulas kejadian kebakaran bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, Petaling Jaya, Selasa lepas.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Kebombaan Siri 1/2017 di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur, Wakaf Tapai, di sini, hari ini.

hadir Ketua Pengarah JPBM Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim dan Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Sobberi Basiran.

Mengulas lanjut kejadian kebakaran itu, Noh berkata, siasatan awal mendapati bangunan itu menggunakan sejenis bahan ‘cladding’ yang diperbuat daripada polisterina, iaitu bahan mudah terbakar.

“Tapi api yang merebak sebelah luar sahaja sebab itu nampak teruk. Sebenarnya ia (bahan diperbuat daripada polisterina) tidak boleh digunakan, kita ada akta, kita akan siasat siapa yang mula gunakan itu.

“Siasatan (dijangka siap ) dalam dua minggu. Kalau melanggar undang-undang kita akan ambil tindakan… saya tengok ada yang salah faham sewaktu CF (sijil layak menduduki) diberi bangunan itu memang tidak ada cladding, tapi bila dah siap dia tambah sendiri dan itu di luar pengetahuan kita,” katanya.—Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE