PRU-14, Parlimen Baling Sempurnakan Manifesto

BALING 15 Feb. – Sebanyak 13 perkara yang terkandung dalam manifesto Barisan Nasional untuk pembangunan di Parlimen Baling berjaya dicapai termasuk tiga yang utama iaitu pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM), hospital pakar dan masjid daerah.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya berpuas hati kerana manifesto yang menjadi pertunjuk prestasi utama (KPI) khidmatnya itu dicapai sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Pencapaian itu membuktikan apa yang dijanjikan oleh kerajaan bukan sesuatu yang retorik terutama menjelang pilihan raya ini.

“Kita menjanjikan tiga projek besar sahaja tetapi sepanjang lima tahun ini, kerajaan berjaya melaksanakan 13 projek pembangunan yang sebelum ini langsung tidak pernah dibincangkan,” kata Abdul Azeez ketika ditemuipada Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Kecil Pertanian (MP3) di sini, hari ini.

Menurutnya, projek-projek tersebut mengambil masa agak lama termasuk untuk mendapatkan dana dan melaksanakannya.

“Namun begitu, ia tetap dilaksanakan memandangkan ia menjadi keperluan penduduk dari semasa ke semasa dan juga untuk mengatasi beberapa masalah yang timbul seperti banjir dan sebagainya,” katanya.

Beliau mengakui berpuas hati dengan tiga projek utama iaitu pembinaan hospital pakar, kampus Universiti Teknologi Mara Baling dan Masjid Daerah yang berjaya dilaksanakan dan bertegas pembangunan tidak akan dihentikan.

“Sebab itu kita buat 13 projek lain bersama termasuk membuka kawasan industri di Tawar, naik taraf Kolej Universiti Islam Insaniah kepada Universiti Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, projek tebatan banjir dan sebagainya.

“Malah pada masa akan datang, kita akan buat banyak lagi untuk rakyat di sini termasuk merealisasikan Sifar Dadah di sini,” kata Abdul Azeez.

Sementara itu, projek bantuan peralatan kecil pertanian akan diteruskan walaupun tidak lagi mendapat peruntukan dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Projek ini diteruskan kerana saya mahu membantu penduduk meraih pendapatan tambahan memandangkan 80 peratus daripada mereka ialah petani dan penoreh getah.

“Dengan adanya bantuan ini, mereka tidak lagi bergantung kepada hasil pertanian terutama getah semata-mata ataupun berdepan masalah kewangan apabila musim hujan kerana ada sumber lain yang membantu menjana pendapatan tambahannya,” katanya.

Pada majlis tersebut, seramai 62 penduduk menerima 62 jenis bantuan seperti pam air, gergaji berantai, mesin jahit serta mesin tebu. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE