Polis Rakam Percakapan 6 Individu Kes Bakar Kenderaan JPJ

IPOH, 15 Feb: Polis telah merakam percakapan enam individu bagi membantu siasatan berhubung kejadian kebakaran lima kenderaan di Stesen Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Timbang Lori di Kuala Kangsar pada 6 Feb lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Ahmad Termizi Abd Haq berkata mereka merangkumi orang awam dan anggota JPJ.

“Kita belum membuat tangkapan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek,” katanya kepada pemberita pada majlis Pelancaran Motosikal Unit Rondaan Bergerak (URB) dan Kenderaan Pacuan Empat Roda Light Strike Force (LSF) di dataran kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, di sini hari ini.

Beliau juga berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh kejadian daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak.

Dalam kejadian itu, tiga kenderaan JPJ dan dua kenderaan orang awam terbakar, dipercayai akibat perbuatan khianat.

Mengulas kes lain, Ahmad Termizi mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan perbuatan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan awam seperti meninggalkan barang yang mencurigakan di tempat umum.

“Kalau kami dapat bukti kukuh, kami tidak akan berdiam diri dan akan lakukan tangkapan serta kenakan tindakan undang-undang (terhadap pelaku),” katanya.

Beliau mengulas kejadian Selasa lepas apabila orang awam menemui sebuah beg hitam yang mencurigakan di Jalan Raja Chulan, Kuala Kangsar.

Khuatir beg itu mengandungi bom, sepasukan Unit Pemusnah Bom daripada Ibu Pejabat Kontinjen Perak digegaskan ke lokasi namun pemeriksaan lanjut mendapati beg tersebut hanya mengandungi pakaian.– Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE