Anifah Bertemu Rakyat Malaysia Yang Ditahan Di UAE

PUTRAJAYA, Feb 15: Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bertemu rakyat Malaysia, Richard Lau, yang ditahan di Ras Al Khaimah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak April tahun lepas kerana disyaki mencuri wang gaji, bagi melihat sendiri keadaan jurutera sivil itu.

Pertemuan berlangsung pada Rabu, ketika Anifah berada di Ras Al Khaimah bersempena lawatan kerja sehari beliau di wilayah tersebut yang turut menyaksikan Anifah mengadakan kunjungan hormat ke atas Pemerintah Emiriah Ras Al Khaimah, Sheikh Saud Saqr Al Qasimi di Istana Khuzam.

Dalam kenyataannya hari ini, Wisma Putra berkata selain perkembangan hubungan dua hala di antara Malaysia-UAE, isu-isu semasa rantau Asia dan antarabangsa, penahanan Lau turut disentuh dalam pertemuan Anifah dan pemerintah emiriah itu.

“Menteri Luar (Anifah) merakamkan penghargaan kerajaan Malaysia atas bantuan yang diberikan oleh Pemerintah Emiriah Ras Al Khaimah, serta semangat persaudaraan dan kepercayaan yang ditunjukkan oleh kerajaan UAE dalam membantu menyelesaikan isu berkaitan penahanan warga Malaysia, Richard Lau,” kata Wisma Putra.

Anifah turut memanjangkan salam Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika bertemu Pemerintah Emiriah Ras Al Khaimah itu.

Wisma Putra berkata Anifah turut mengadakan pertemuan dengan Pihak Berkuasa Ras Al Khaimah dan memohon pertimbangan agar Lau dibebaskan dengan jaminan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang tempatan sementara menunggu kesnya disebut di mahkamah.

“Menteri Luar (Anifah) turut memohon pertimbangan agar kes beliau (Lau) dapat diselesaikan secepat mungkin,” kata Wisma Putra.

Menurut laporan akhbar, Lau, 41, dihantar bertugas ke Ras Al Khaimah oleh syarikat pengangkutan marin Malaysia yang berpangkalan di Miri, sebagai penyelaras projek di syarikat subsidiarinya di sana lima tahun lepas.

Menurut laporan itu, Lau ditahan susulan aduan oleh seorang warga UAE yang merupakan rakan kongsi syarikat subsidiari tersebut, mendakwa beliau mencuri wang gaji.

Aduan itu merujuk kepada sejumlah wang dibayar kepada Lau yang sebenarnya adalah gajinya bagi menjalankan tugasnya seperti diarahkan syarikat induk.

Menurut Wisma Putra, Anifah memaklumkan kepada Lau ketika mereka bertemu mengenai kesediaan kerajaan UAE untuk mempertimbangkan permohonan ikat jamin dan menyelesaikan kes beliau secepat mungkin.

Menurut Wisma Putra, Lau yang berada dalam keadaan sihat, turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Anifah dan kerajaan Malaysia.

“Menteri Luar (Anifah) juga telah menekankan keperluan untuk Richard Lau mematuhi peraturan perundangan tempatan sehingga kes ini diselesaikan sepenuhnya,” kata Wisma Putra.–Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE