Urusan Daftar Pemilih dan KWSP Di Festival GegaRia

SHAH ALAM: Festival GegaRia yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City hingga jam 10 malam ini turut menyediakan perkhidmatan agensi kerajaan kepada masyarakat.

Perkhidmatan itu menerusi segmen Zon Komuniti GegaRia membabitkan kaunter Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Pengunjung juga berpeluang untuk melakukan pemeriksaan kesihatan dan pergigian serta menderma darah.

Ketua Pembantu Tadbir SPR, Azizah Ahmad, berkata menerusi kaunter bergerak yang disediakan, pihaknya menyediakan perkhidmatan kepada pengunjung untuk membuat pendaftaran dan semakan pemilih serta menukar alamat.

“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan terutama pengunjung yang ingin membuat pendaftaran pemilih.

“Ramai yang sudah mempunyai kesedaran itu apabila mencapai usia 21 tahun. Jadi mereka kesempatan kehadiran kaunter bergerak di GegaRia ini untuk berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pentadbiran Mobile Team Kuala Lumpur KWSP, Risal Azmer, berkata mereka membuka perkhidmatan kepada pengunjung dengan mengadakan promosi membuka i-Akaun KWSP.

Selain itu, perkhidmatan yang turut ditawarkan adalah pendaftaran Skim Persaraan 1 Malaysia, Skim Simpanan Syariah dan penamaan KWSP.

Risal berkata, sambutan menggalakkan apabila menerima lebih 150 permohonan untuk membuka i-Akaun sehingga ini.

“Sememangnya orang ramai mengambil kesempatan kehadiran kaunter bergerak KWSP untuk membuat urusan kerana tidak perlu ke mana-mana pejabat KWSP.

“Malah kami juga selalu mengambil kesempatan menerusi acara seperti Festival GegaRia untuk mendekati orang ramai,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE