UMNO Alukan Perubahan Sikap Pas Kelantan

KETEREH 13 Jan. – UMNO mengalu-alukan perubahan sikap yang ditunjukkan kepemimpinan Pas negeri ini yang sangat positif dengan segala bentuk bantuan yang dihulurkan oleh Kerajaan Pusat.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, ini merupakan sikap terbaik dalam usaha membangunkan negeri ini bersama tanpa sebarang sikap prejudis.

“Walaupun pendekatan mereka (Pas) kadang-kadang seperti ‘Merry-Go-Round’, pusing-pusing akhirnya kembali semula, namun, sejak kebelakangan ini kerajaan negeri ini sentiasa bersikap positif.

“Bukan sikap mencari salah, menafikan serta memanipulasikan segala bentuk kebaikan yang pernah diberikan Kerajaan Pusat kepada negeri ini.

Namun, tidak usahlah kita mengungkit-ungkit atau memperkecilkan segala usaha yang pernah diberikan kepemimpinan (Kerajaan Pusat) sebelum ini dan pandang kehadapan untuk mencari nilai taawun (kebersamaan) demi kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Tentera bersama Rakyat di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Kok Lanas, di sini hari ini.

Turut hadir Asisten Ketua Staf Perisikan (AKS), Markas Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Khir Mohd. Nor. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE