Pakatan Harapan Celaru, Rapuh

Kecelaruan dalam memilih Perdana Menteri dengan PKR Selangor ingin menamakan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai calon kerusi nombor satu negara sekiranya Pakatan Harapan diketuai DAP memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), membuktikan gabungan tersebut celaru dan cukup rapuh.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, bagaimana hendak menubuhkan kerajaan sekiranya ‘akar’ masih tidak kukuh yang akhirnya rakyat sendiri akan rugi jika memilih pakatan pembangkang tersebut.

Beliau berkata, apa yang penting sekarang, Pakatan Harapan perlu menang pilihan raya terlebih dahulu sebelum hendak melantik sesiapa sahaja menjadi Perdana Menteri.

“Soalnya, banyak sangat hendak jadi Perdana Menteri tetapi bagi menang pilihan raya dahulu. Untuk tubuh kerajaan kita perlu satu gabungan yang kuat namun di dalam Pakatan Harapan sendiri siapa sebenarnya ketua pun kita tidak tahu,” katanya.

Pemilihan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri sementara dilapor mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan pimpinan PKR Selangor apabila Timbalan Pengerusinya, Zuraida Kamaruddin tidak bersetuju dengan amalan ‘kitar semula’ pemimpin selain mahu bekas Perdana Menteri itu hanya dilantik sebagai menteri kanan sahaja.

Selain itu, penolakan Dr. Mahathir juga turut disuarakan oleh Timbalan Ketua Wanita PKR Selangor, Dr. Doroyah Alwi apabila menegaskan pihaknya mahu Mohamed Azmin dilantik sebagai calon untuk jawatan berkenaan manakala Ketua Biro Komunikasi PKR Selangor, Hizwan Ahmad pula mahukan calon jawatan itu perlu dipilih dalam kalangan ‘tokoh segar’.

Bagaimanapun hasrat pimpinan PKR Selangor itu ditolak oleh DAP, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) negeri itu yang mengeluarkan kenyataan bersama menyokong penuh pemilihan Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Shahidan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, beliau percaya Pakatan Harapan sukar untuk menang pilihan raya seterusnya membentuk kerajaan baharu.

“InsyaAllah rakyat akan terus memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) menerajui negara kerana kerajaan sedia ada terlalu banyak jasa kepada rakyat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE