MCA Kekal Jumlah Kerusi Bertanding Pada PRU-14

Datuk Seri Liow Tiong Lai
Datuk Seri Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR: MCA akan mengekalkan jumlah kerusi untuk dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14), kata presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, jumlah itu adalah yang ditetapkan oleh Barisan Nasional (BN) sejak dulu.

“Kita tidak akan tambah atau mungkin tidak akan kurangkan jumlah kerusi. Bagi saya isu kerusi tidak ada masalah dalam BN kerana semua parti sudah diagihkan sejak dulu lagi.

“Kalau ada pertukaran kerusi, itu adalah antara komponen parti dan tiada masalah untuk berbincang mengenainya,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian anugerah penghargaan kepada kakitangan KTMB oleh Kelab Rotary, di Stesen Sentral, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai bilangan kerusi yang akan dipertandingkan MCA menjelang PRU-14.

Pada PRU-13, parti itu bertanding di 37 kerusi Parlimen dan 90 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun MCA hanya memenangi tujuh kerusi parlimen dan 11 kerusi DUN berbanding 15 kerusi parlimen dan 32 kerusi negeri ketika PRU 2008.

Liow berkata, parti itu juga sudah menghantar senarai calon kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak untuk dipertimbangkan.

“Kita dalam proses perbincangan dan beliau (Najib) juga katakan bahawa (mengenai) isu calon, tunggu selepas perbincangan baru kita buat pengumuman,” katanya.

Beliau berkata lebih 50 peratus daripada calon yang dikemukakan MCA adalah muka baharu selain turut membabitkan calon pertengahan usia dan veteran bagi memastikan kemenangan parti itu dalam pilihan raya kali ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Liow berkata, setiap ahli MCA diarah bekerja keras dari peringkat akar umbi tanpa mempersoalkan sama ada mereka terpilih sebagai calon atau sebaliknya.

Katanya sebarang isu membabitkan calon daripada parti itu juga tidak akan dibincangkan secara umum termasuk menerusi media sebaliknya hanya akan dibincangkan secara dalaman.

“Kita sekarang dalam persiapan untuk menghadapi pilihan raya dan (masalah) calon tidak boleh dijadikan satu isu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai laporan yang menyebut bahawa Setiausaha Agung MCA yang juga ahli parlimen Tanjung Malim, Datuk Seri Ong Ka Chuan menarik diri untuk bertanding dalam PRU 14.-Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE