Mahkamah Khas Bukti Kerajaan Prihatin

BAGAN DATUK: Penubuhan mahkamah khas membicarakan kes pemerdagangan manusia bukan sahaja kerana kerajaan prihatin, malah mampu membina keyakinan di peringkat antarabangsa bahawa Malaysia serius dalam menangani kes jenayah itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata mahkamah khas jenayah itu yang akan ditubuhkan di Lembah Klang pada Jun ini sebagai perintis, akan dapat menangani masalah kes itu yang banyak tertunggak akibat kekurangan hakim.

“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada Ketua Hakim Negara (Tun Md Raus Sharif) yang bersetuju dengan cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mewujudkan mahkamah khas iaitu Mahkamah Jenayah Pemerdagangan Manusia.

“Mahkamah khas ini cukup penting untuk menterjemahkan keseriusan kita bagi membicarakan kes-kes pemerdagangan manusia, sama ada ia dilakukan individu atau ejen tempatan ataupun individu atau ejen dari negara di luar Malaysia,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Multaqa Permuafakatan Masjid, Surau dan Sekolah Agama Rakyat Daerah Bagan Datuk dan Hilir Perak di Dewan Dato’ Mohamed Jamrah, di sini hari ini.

Semalam, Raus pada sidang media selepas majlis Pembukaan Tahun Kehakiman 2018 di ibu negara mengumumkan pengwujudan mahkamah khas itu, dengan mahkamah khas pertama akan diwujudkan pada Mei atau Jun ini di Klang, sebelum diperluaskan ke negeri lain.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, kes pemerdagangan manusia adalah isu yang sudah lama berlaku dan ketika ini, kes berkenaan dibicarakan di mahkamah biasa dengan hakim yang mempunyai pelbagai latar belakang.

Justeru, katanya, KDN mencadangkan supaya mahkamah khas berkenaan dengan mempunyai seorang hakim yang dikhususkan kepada soal kes pemerdagangan manusia dan mempunyai kepakaran dalam bidang itu.

“Dengan ini bukan hanya kes-kes sedemikian diteliti berdasarkan perundangan yang sedia ada tetapi diterima pakai secara khusus melalui perundangan bagi menangani permasalahan pemerdagangan manusia dan disamping itu dapat mempercepatkan proses pendakwaan dan perbicaraan bila ada mahkamah khusus ini.

“Dengan itu juga kita akan berada di tahap (bersama) masyarakat antarabangsa di mana kita memberikan keprihatinan yang serius terhadap soal pemerdagangan manusia.

“Banyak kes yang tertunggak sekarang ini yang tidak dapat dibawa ke mahkamah dan saya harap soal yang menjadi isu nasional, kes-kes besar ini dapat diberikan keutamaan,” katanya sambil turut menzahirkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana prihatin terhadap cadangan itu.

Ditanya sama ada pengwujudan mahkamah itu akan dapat memberi kesan positif kepada penarafan negara dalam konteks menangani isu pemerdagangan manusia, Ahmad Zahid berkata, perkara itu akan membina keyakinan terhadap Malaysia.

“Kita tahu kita berada berada di tahap kedua atau Tier 2 (Laporan Tahunan Jabatan Negara AS berhubung Pemerdagangan Orang sekarang ini, selepas Tier 2 ‘watch list’ sebelum ini dan Tier 3 sebelum itu,” katanya.-Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE