Kompleks Agrobazaar Putrajaya Bakal Dibina Februari

PROJEK pembangunan kompleks Agrobazaar Malaysia di Putrajaya bagi menyediakan ruang pasaran dan pusat jualan agro makanan dengan harga yang lebih rendah akan dimulakan pada Februari ini.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata pembinaan projek tersebut di Presint 4 itu mengambil masa setahun untuk disiapkan dengan keluasan kira-kira 2.5 hektar.

“Kompleks Agrobazaar Malaysia adalah cetusan ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimulakan dengan ‘My Farm Outlet’ yang beroperasi di tapak sementara.

“Jadi, untuk tapak kekal ia memerlukan saluran peruncitan yang lebih teratur dan moden dan menggunakan sistem jual beli seperti pasar raya, tapi dioperasikan oleh usahawan FAMA,” dipetik media bernama hari ini.

Badruddin berkata kompleks Agrobazaar Malaysia di Putrajaya itu akan menempatkan kira-kira 100 usahawan FAMA dengan 15 jenis perniagaan termasuk buah-buahan, makanan popular dari setiap negeri dan barangan basah.

Selain itu, katanya kawasan kompleks Agrobazaar Malaysia itu turut disediakan dengan 20 perniagaan ‘Food Truck’ selain ‘My Dusun Park’ yang akan ditanam dengan pokok buah-buahan tempatan yang membolehkan orang ramai menikmatinya terus seperti terdapat di dusun-dusun lain.

Pada pembetangan Bajet 2018 tahun lepas Najib mengumumkan peruntukan kira-kira RM20 juta untuk membangunkan Agrobazaar Malaysia yang dimulakan di Putrajaya itu.-Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE