Kisah Anak Terbiar

AHLI keluarga merupakan individu yang selalunya menjadi insan untuk kita bergantung harap mendapatkan perlindungan. Lebih-lebih lagi daripada ibu bapa yang jelas punya tanggungjawab untuk menjaga kebajikan anak-anaknya.

Begitu pun, lain pula kisahnya yang terjadi dalam drama bersiri Lafazkan Kalimah Cintamu. Drama yang diadaptasi daripada novel itu memaparkan kisah seorang anak yang kehilangan tempat bergantung harap selepas dirinya disisihkan oleh keluarga kandung sendiri.

Menampilkan pelakon Nelydia Senrose, Nadiyah Shahab dan Farid Kamil selaku teraju utama, drama bersiri 32 episod itu merupakan idea asal daripada penulis novel terkenal, Siti Rosmizah yang juga merupakan penulis novel popular, 7 Hari Mencintaimu.

“Cerita ini mengisahkan seorang wanita bernama Aqilah yang disisih oleh bapa sendiri selepas dia dianggap sebagai penyebab kepada kematian isterinya.

“Ibunya meninggal dunia sewaktu melahirkannya. Selepas itulah, dia kemudian terpaksa berdepan dengan derita hidup apabila tidak diterima ahli keluarga sendiri,” kata Siti Rosmizah yang juga merangkap penerbit eksekutif bagi drama tersebut.

Bercerita mengenai kisah drama tersebut, kata Siti Rosmizah, jalan cerita asalnya yang dibukukan sudah ditulis pada tahun 2010 lagi.

“Selain menulis, kerjaya saya juga merupakan seorang peguam. Jadi, apa yang berlaku dalam kalangan masyarakat sekeliling menerusi pemerhatian saya itulah yang saya cuba sampaikan dalam novel.

“Semestinya sebagai seorang penulis, saya mahukan karya itu mengikut idea asal. Dalam drama Lafazkan Kalimah Cintamu ini juga boleh dikatakan sudah 90 peratus mengikut jalan cerita novel,” katanya ketika dihubungi Sensasi Bintang.

Jelas Siti Rosmizah lagi, sedikit plot cerita juga terpaksa diubah sedikit berbanding karya asal atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Jika di dalam novel ada babak antara Aqilah dan Ryan, tetapi di pertengahan plot drama ini kita terpaksa gantikan dengan babak lain. Jadi, ada perubahan sedikit di situ sahaja.

“Selebihnya kita kekalkan semua watak-watak yang ada dalam karya asal novel termasuklah watak tambahan seramai 10 orang,” kongsinya.

Diarahkan oleh sutradara Along Kamaluddin, selain mengangkat konflik kekeluargaan, drama yang menjalani penggambaran di sekitar Lembah Klang dan Selangor itu juga memaparkan kisah percintaan.

Biarpun begitu, katanya, tema percintaan yang ditonjolkan dalam drama tersebut meliputi aspek yang lebih luas.

“Orang mungkin melihat asyik cerita cinta sahaja. Bagaimanapun, sebenarnya apa yang kita tonjolkan di sini lebih kepada erti cinta dan kasih sayang antara seorang anak kepada ayahnya dan juga kakaknya.

“Pada masa sama, kita selitkan juga semangat persahabatan dan setiakawan,” jelasnya.

Lafazkan Kalimah Cintamu memaparkan kisah Aqilah yang pulang ke Malaysia dengan niat untuk melaksanakan amanat ibunya untuk mendapatkan kasih sayang bapanya. Namun, niat baiknya dihalang oleh kakaknya sendiri, Natasha (Nadiyah Shahab) yang berdendam terhadap dirinya.

Aqilah kemudian dibantu rakannya Farhana (Adriana Adnan) dan Syafiq (Imam Shah) untuk menyedarkan bapanya.

Drama yang turut menampilkan pelakon Adibah Noor dan Liza Abdullah itu menemui penonton bermula esok setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 10 malam di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE