Kami Tidak Rela Diperlekehkan

“KAMI tak rela diperlekehkan pasukan lain lagi,” kata penyerang skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Safawi Rasid selepas mereka berjaya mengikat Jordan 1-1 pada aksi kedua Kumpulan C Kejohanan AFC B-23 di Stadium Changshu hari ini.

Dia yang menyumbat gol penyamaan menerusi sepakan penalti pada minit ke-43 berkata, kekalahan besar 4-1 di tangan Iraq pada aksi pembukaan Rabu lalu mencetuskan rasa geram mereka.

“Saya tak nak pasukan lawan daripada Asia Barat merendahkan kita, hari ini kita sudah beri yang terbaik untuk Malaysia dan kita dapat keputusan positif.

“Bagi saya, saya sangat puas hati dan bangga dengan rakan sepasukan kerana dari awal hingga akhir kita bagi komitmen 100 peratus dan permainan yang positif.

“Cuma sedikit kecewa kerana kita ada peluang baik untuk menang, tapi sekurang-kurangnya satu mata ini menghidupkan peluang kita ke suku akhir,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Jaringan penyamaan Safawi selepas Akhyar Abdul Rashid dijatuhkan dalam kotak penalti adalah gol kedua pemain Johor Darul Ta’zim itu apabila turut membolosi gawang Iraq pada perlawanan pertama.

Ia kebangkitan terbaik anak buah Datuk Ong Kim Swee selepas ketinggalan satu gol apabila Jordan mendahului hasil jaringan Ward Helal Khalid pada minit ke-43.

Dengan satu mata selepas dua perlawanan, Malaysia yang tampil buat kali pertama di kejohanan ini masih boleh mengintai tempat ke suku akhir dengan syarat menundukkan naib juara 2013 Arab Saudi pada perlawanan terakhir di Kushan, Selasa ini.

“Ini kejohanan tahap tinggi jadi pemain semangat nak cipta sejarah, Mungkin perlawanan seterusnya kalau kita menang, ada peluang ke suku akhir.

“Insya-Allah kalau semua pemain bekerja keras kita boleh dapat keputusan baik, tak kira siapa yang jaringkan gol yang penting kita menang,” kata Safawi.-Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE