GERAKAN Kemuka Calon Di 45 Kerusi

KUALA LUMPUR: GERAKAN hari ini menyerahkan senarai calon untuk 45 kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk dipertimbangkan.

Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata senarai calon itu diserahkan ketika mesyuarat khas GERAKAN dengan Najib di ibu pejabat parti itu di Menara PGRM.

Katanya, kira-kira 60 peratus daripada senarai calon itu adalah muka baharu yang terdiri daripada bangsa Cina, Melayu dan India.

“Perdana Menteri dalam pertemuan tadi menasihatkan supaya jentera parti berada dalam mood bersedia untuk menghadapi pilihan raya dan mencatat kemenangan lebih baik,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas dengan Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) hari ini.

Najib turut dibawa melawat bilik operasi pilihan raya parti itu.

Hadir sama, Timbalan Presidennya, Datuk Chang Ko Youn dan Setiausaha Agungnya, Datuk Liang Teck Meng.

Dalam PRU-13, GERAKAN bertanding di 12 kerusi Parlimen dan 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Siew Keong juga menjelaskan GERAKAN dalam peringkat akhir perbincangan mengenai pertukaran empat hingga lima kerusi dengan beberapa parti komponen BN yang lain termasuk MCA.

Katanya, pertukaran kerusi itu bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

“Untuk Pulau Pinang, kami yakin pencapaian GERAKAN akan lebih baik kerana ada banyak isu di negeri itu seperti projek terowong dasar laut.

“Selepas dua pilihan raya, DAP juga dilihat semakin angkuh jadi kami yakin akan buat lebih baik dan rakyat pilih calon kami menjadi wakil di Dewan DUN supaya proses periksa dan imbang dapat berjalan lebih baik, ” katanya.

Beliau berkata Jawatankuasa Disiplin yang akan memastikan tiada ahli mensabotaj parti dan calon komponen BN apabila senarai calon diumumkan nanti.-Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE