Cyber Games Industri Baharu Negara – PM

Datuk Seri Najib Razak hari ini mengiktiraf ‘cyber games’ atau e-sukan sebagai industri baharu negara.

Perdana Menteri berkata, e-sukan yang diminati majoriti generasi muda di negara ini bukan hanya gaya hidup, sebaliknya boleh dibangunkan sebagai industri ekonomi digital.

Katanya, pengiktirafan itu juga sejajar dengan hasrat kerajaan yang mendengar denyut nadi rakyat termasuk generasi milenia, selain hakikat e-sukan akan diangkat sebagai kategori baharu dalam Sukan Asia di Indonesia tahun ini.

“Ini (e-sukan) industri baharu untuk Malaysia. Kita mesti sediakan orang kita (generasi muda) supaya jadi penjana, pembekal dan pelaku aktif dalam cyber games,” katanya pada edisi kedua Malaysia Cyber Games 2018 (MCG18) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak; Pengasas Malaysia Book of Records (MBR), Tan Sri Danny Ooi dan Presiden Kelab Suara Anak Muda 1Malaysia, Datuk Armand Azha Abu Hanifah.

Najib turut menyaksikan pengiktirafan MCG18 dalam Malaysia Book of Records sebagai penganjuran permainan video terbesar di negara ini dengan mempertandingkan sembilan permainan video dan menerima 2,062 peserta.

MCG18 dianjurkan Suara Anak Muda 1Malaysia dan Briged Kesatria dengan kerjasama Tune Advertising Sdn Bhd menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM300,000.

Peserta berentap dalam sembilan permainan video popular menerusi MCG18 yang selama dua hari bermula semalam di PWTC.

Permainan video dipertandingkan adalah Counter Strike GO, Dota 2, Fifa 2018, Street Fighter, Mobile Legends, Tekken 7, Player Unknown Battleground (PUBG), Justice League 2 dan F 1 2017 Racing.

Sebagai kerajaan prihatin dengan kehendak rakyat, Perdana Menteri memberi jaminan untuk terus menyokong penganjuran MCG18.

Najib turut mengiktiraf MCG sebagai persatuan mewakili industri e-sukan di negara ini.

“Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memenuhi keperluan generasi muda dan tidak hanya melihat e-sukan sebagai gaya hidup.

“Pendek kata kita mesti memberi fokus terhadap masa depan, berorientasikan golongan muda dan memahami perkembangan digital. Kita adalah kerajaan yang mewakili generasi muda,” katanya.

Najib berkata, kerajaan sentiasa menerima perubahan dan ia membawa kepada pengenalan Dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Kita menerima perubahan, ekonomi digital dan revolusi digital. Inilah gaya hidup orang muda hari ini,” katanya.

MCG18 disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan edisi pertama di Stadium Negara di Kuala Lumpur pada 12 dan 13 Disember 2015 menerima sambutan hangat lebih 7,000 pengunjung.

Sektor e-sukan menghasilkan pendapatan AS$587 juta pada 2017 dengan lebih 14 juta pemain, dengan 7.8 juta darinya adalah pelanggan berbayar.-Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE