Bagaimana PAS Akan Jadi ‘Kuasa Penentu’?

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ
(Fussilat: 30)
Ayat yang saya bacakan tadi ialah satu berita gembira dan suatu penegasan yang diminta oleh Allah S.W.T kepada orang yang beriman kepada Allah, walau hebat macam mana cabaran sekalipun, walau bagaimana bentuk ujian sekalipun, hendaklah mereka meyakini tentang Allah sebagai tuhan dan istiqamah di atas prinsip tersebut.
إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ
“Dan mereka yang berkatakan tuhan kami Allah.”
(Fussilat: 30)
Allah bukan hanya tuhan dalam sembahyang, dalam puasa, dalam zakat, Allah juga tuhan dalam berekonomi, Allah juga tuhan dalam berpolitik. Kerana tidak ada ‘ilah’ yang lain melainkan Allah, jangan hanya kiblat sembahyang mengadap Kaabah, kiblat politik mengadap Amerika.
Umat Islam mempunyai satu kiblat dan satu tuhan dalam seluruh hidup, kerana Allah Taala bukan hanya kita minta kepada Dia, dan Allah itulah juga tempat kita menumpukan segala ketaatan kepatuhan. Allah Taala menggunakan tiga istilah dalam surah an-Nas:
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ
مَلِكِ النَّاسِ
إِلَٰهِ النَّاسِ
(an-Nas: 1-3)
رَبِّ النَّاسِ
مَلِكِ النَّاسِ
إِلَٰهِ النَّاسِ
Yang merangkumi semua aspek. Rabbi atau Rabb, Dia lah yang mengatur, mentadbir, menyusun, menjadikan, menghidup dan mematikan. Malik, Dia-lah yang Raja yang disembah yang diagung-agungkan, dibesarkan. Ilah, Dia-lah Allah tempat kita sembah, mengadu, mengharap. Semua ini menunjukkan kepada kita orang yang mengatakan, “Tuhan kami Allah”
ثُمَّ اسْتَقَامُوا
“Kemudian mereka beristiqamah di atas kalimah tersebut.”
(Fussilat: 30)
Kalimah yang sangat agong. Tanyalah siapa sahaja. Sebab ada orang bertanya kenapa PAS membawa Gagasan Islam sedangkan negara Malaysia masyarakat majmuk? Kita jawab, majmuk ini Allah yang buat, bukan kita yang buat. Nabi Muhammad diutuskan untuk masyarakat majmuk, bukan masyarakat Arab. Allah Taala berfirman:
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
“Dan tidak Kami utuskan engkau wahai Muhammad S.A.W melainkan membawa rahmat kepada seluruh alam.”
(al-Anbiya’: 107)
Rahmatan Lil ‘Alamin, bukan Rahmatan Lil Muslimin, bukan Rahmatan Lil Arabiyyin. Rahmatan Lil ‘Alamin, rahmat seluruh alam.
Kerana itu Islam tidak memaksa orang bukan Islam untuk masuk Islam, kerana tak ada makna paksaan dalam akidah, pemaksaan akan hanya menjadi munafik, berpura-pura. Luar dalam, luar lain, dalam lain, jadi harum manis.
Islam tak mahu dua wajah, Islam hanya ada satu wajah sahaja, satu sifat sahaja. Kalau mereka beriman, mereka kena pegang apa yang diperintah oleh Allah. Kalau mereka tak nak beriman, mereka tidak dipaksa untuk ikut apa yang diperintah oleh Allah.
لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ
“Tidak ada paksaan dalam agama.”
(al-Baqarah: 256)
Kenapa tidak ada paksaan? Allah jawab:
قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ
“Kerana telah jelas nyata di antara benar dan salah.”
(al-Baqarah: 256)
Sebab itu PAS, Gagasan yang kita bawa ialah membawa suatu negara, masa depan negara yang adil, yang harmoni, melahirkan pemimpin bertanggungjawab bukan hanya kepada rakyat dan negara, bertanggungjawab dengan Allah.
Kalau sekadar bertanggungjawab dengan negara, belum tentu pemimpin itu jadi baik. Pemimpin akan ditanya oleh Allah sampai ke akhirat. Jangan dia ingat bahawa jawatan hanyalah untuk seronok-seronok nak bangga dengan manusia.
Sebab itu PAS, kita tidak pernah berebut soal jawatan. Dalam isu berlaku di Selangor, PAS 15 kerusi kita bagi kepada PKR, kita tidak ambil. Berlaku krisis, kita serah lagi calon nama PKR.
Mat Said di Terengganu serang kerajaan negeri, isytihar tidak menyokong kerajaan. Ramai orang tanya, kenapa PAS tak ambil kesempatan waktu itu? Di Terengganu, PAS hanya perlu dua kerusi lagi boleh memerintah. Mat Said kata dia ada lima yang mengikut dia di belakang.
Tapi kita tak tahu lah boleh percaya, kita tengok, ya ke lima? Kita nampak kadang-kadang bergedik seorang, kadang-kadang nampak dua, kadang-kadang nampak tiga, tapi dia kata ada lima orang.
Kita tak ambil kesempatan. Ada orang kata, PAS tak cerdik, ambillah kesempatan, ambil alih kerajaan, kita boleh memerintah, hadapi pilihan raya dalam keadaan kuasa di tangan kita.
Kita kata tidak, Presiden buat keputusan, kami ikut. Jawatankuasa Pusat setuju, kita tidak ambil kesempatan, kenapa?
Waktu Perak calon-calon DAP keluar lompat parti, kita serang DAP. Waktu PKR keluar daripada parti di Perak hingga tumbang kerajaan, PAS kita menentang budaya rebut tengah jalan, mengambil kesempatan dalam kemelut yang ada.
Kita tak setuju, sebab dia melahirkan wakil rakyat yang sedia menjual kerusi pada bila-bila masa. Wakil rakyat yang khianat macam ini tak layak jadi pemimpin. Bayangkan tiba-tiba kita pula ambil kesempatan yang sama.
PAS kita tak ambil kesempatan, kita mengambil kira beberapa perkara, yang pertama apa jaminan Mat Said tak lompat? Sidang Dewan Negeri terbaru, hangit sokong kerajaan yang ada hari ini.
Tak boleh. Sebab itu kita pegang prinsip sebab PAS pernah hilang kerajaan di Kelantan, hampir hilang kerajaan di Terengganu. PAS kemukakan cadangan supaya wakil rakyat tak dibenarkan lompat parti, Kerajaan Barisan Nasional menolak cadangan sebab dia kata bercanggah dengan hak dalam perlembagaan, kebebasan individu dalam Perlembagaan Negara.
Tuan-tuan sekalian, PAS kita tahu bahawa negara kita mesti diolah dengan cara yang betul. Malaysia masyarakat majmuk. Di Semenanjung kita ada kaum-kaum utama, Melayunya, Cinanya, Indianya, Orang Asalnya. Di Sabah Sarawak ada berbagai kaum. Malaysia bukan hanya satu agama, Malaysia bukan hanya satu bangsa, semuanya rakyat kita, semua rakyat Malaysia yang ada hak ke atas negara ini, mereka bayar cukai, mereka menjaga keamanan negara, mereka terlibat dalam mengatur urus tadbir negara.
Sebab itu PAS, kita mengambil pendekatan supaya kita memahami budaya satu sama lain, memahami hak beragama satu sama lain. Kita tidak boleh menyekat orang Kristian nak mengamal agama dia. Kita tak boleh sekat orang Cina nak mengamalkan budaya hidup dia. Demikian juga mereka tidak boleh menyekat orang Islam untuk mengamalkan perintah agama dia.
Inilah keharmonian yang kita jaga. Sebab itu kita menjelaskan apa yang dibawa dalam perlembagaan dalam Dewan, dalam Parlimen, walaupun PAS 27 memerintah Kelantan, kita tahu orang bukan Islam khususnya orang masyarakat Cina takut dengan hukum Hudud, mereka dibayangkan Hudud ini kerat tangan, dibayangkan hukuman yang rejam, hukuman yang menakutkan, mereka tak tengok seluruh struktur.
Undang-undang jangan tengok hukuman, kena tengok syarat hakim, syarat saksi, syarat pendakwaan, syarat pembuktian. Bagaimana seluruh itu sebagai satu sistem yang lengkap? Jangan tengok hukum. Kalau tengok hukum, di Negeri China, kesalahan rasuah hukum tembak. Tembak pula berdepan-depan yang mangsa yang akan ditembak lain. Kalau tengok hukuman, kita akan rasa zalim, kejam, tetapi tengok seluruh sistem.
Sebagaimana orang Islam tidak boleh menyekat hak orang bukan Islam mengamalkan agama, budaya dia, demikianlah juga kami orang Islam ada tanggungjawab kami pada agama kami. Ada tanggungjawab dalam ekonomi, tidak boleh terlibat dengan perkara yang diharamkan oleh Allah yang cipta kita.
PAS bukan hanya menentang rasuah, PAS juga menentang amalan riba. Quran meng….kan orang yang mengamalkan riba, kekal neraka selama-lamanya. PAS menentang rasuah, dia menghancurkan negara. PAS tidak akan berkompromi dengan orang yang melakukan rasuah. Kita menentang rasuah bukan baru, sejak mula ditubuhkan PAS mula menentang penyelewengan, salah guna kuasa. PAS tak akan kompromi dengan kezaliman.
Kita kena faham di sana dalam perkara yang disebut oleh Dr Zuhdi (Marzuki) tadi, dihuraikan oleh beberapa orang sahabat-sahabat, bagaimana konsep Gagasan yang Allah Taala garis, bukan kita yang buat. Ada perkara yang kita boleh berta’awun, bekerjasama. Bukan bermakna bila kita bekerjasama, kita menerima seluruh sistem yang tak betul. Allah Taala buat sempadan:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
(al-Maidah: 2)
Hebat ayat ini. Bila Allah Taala sebut, “Dan berbantu-bantulah kamu, (At-Ta’awun), kerjasama dalam perkara kebaikan dan takwa.” Dalam perkara dalam suruhan berbantu (At-Ta’awun), Allah dulukan prinsip umum daripada khusus.
Allah Taala sebut tolong bantu dalam perkara kebaikan, kebaikan prinsip umum. Orang Islam, orang bukan Islam, Kristian, Buddha apa semua, dia ada prinsip kebaikan. Adapun takwa, dia prinsip khusus yang ada dalam Islam, tak ada dalam agama lain.
Tetapi Allah Taala ya akhi, bila mana Allah Taala melarang kita jangan tolong bantu, Allah dulukan prinsip khusus berbanding prinsip umum.
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ
“Jangan kamu tolong bantu dalam perkara dosa”
(al-Maidah: 2)
Perkara dosa perkara khusus orang Islam. Orang bukan Islam tak ada dosa pahala. Dalam Islam ada dosa pahala. Allah Taala dulukan, kamu jangan tolong dalam perkara yang menyebabkan berdosa. PAS tegaskan, kita tidak akan kompromi dalam rasuah, penyelewengan, kezaliman, penindasan, penganiayaan. Nabi beri amaran:
سيكون بعدي أمراء
يكذبون ويظلمون
من صدقهم بكذبهم
وأعانهم على ظلمهم
فليس مني ولست منه
ولم يرد علي الحوض
Rawahu Tirmizi, Wal Hakim, Wan Nasaie, Hadis Shahih
Sabda Nabi S.A.W, “Akan datang kepada kamu satu masa, selepas kewafatanku, akan muncul di kalangan kamu dua golongan,” akan muncul di kalangan pemimpin-pemimpin yang ada dua sifat, yang pertama:
يكذبون
“Dia berbohong dengan rakyat.”
Yang kedua:
ويظلمون
“Dia berbuat aniaya, zalim kepada rakyat.”
Zalim ini bukan hanya pukul. Pengalaman PAS ini tuan-tuan sekalian, 63 tahun. PAS-lah yang paling teruk menderita dalam politik Malaysia berbanding parti-parti lain. Orang PAS-lah paling dianiaya sekali dalam zaman era mana sekalipun. Di zaman Tun Razak, berlaku kematian Abdul Samad Gol, dipukul dengan kapak, terbelah dua kepala balik daripada ceramah.
Hatta berlaku kemudian-kemudiannya sebahagian tadi disebut oleh Dr Zuhdi, ahli PAS paling teruk ditukar jadi macam bola, pembangunan kawasan PAS tak diberi, penganiyaan teruk, bantuan apa pun orang PAS tak beri, bantuan baja Umno cap dacing, baja cap dacing, mampus pokok. Macam-macam penganiayaan, rakyat tak berubah.
Setiap kali pilihan raya, rakyat tidak berubah. Kita muhasabah, kita mencari bagaimana untuk mengambil pendekatan. Nak kata tak ada kerjasama politik, PAS-lah parti yang paling banyak melakukan kerjasama politik.
Tapi kita belajar daripada sejarah. Kita kerjasama tak boleh merugikan Islam, kerjasama tidak boleh merugikan Islam, tidak boleh menghadkan tanggungjawab kita dengan Allah Taala, itu orang tak panggil kerjasama. Sebab itu setiap kali kita mengadakan tahaluf, kita letak syarat. Sebab Nabi peringatkan kita,
المسلمون على شروطهم
“Orang Islam kena ada syarat”
Kita ambil wudhu’ ada syarat, kita sembahyang ada syarat sah syarat batal, hubungan suami isteri ada syarat sah ada syarat batal, tak kan berpolitik tak ada syarat? Bila mana syarat dilanggar, PAS tarik diri keluar. PAS tidak akan langgar syarat. Dalam mana-mana muafakat politik, biasanya orang lain yang langgar syarat PAS, yang langgar syarat.
Kita memerintah negara dalam Barisan Nasional, jadi Menteri, Dato’ Asri Menteri Tanah. Dato’ Mustafa Ali Timbalan Menteri. Berbagai-bagai jawatan dipegang, ramai. Seronoklah, pegang jawatan, ada elaun, ada gaji, ada driver, ada kereta. Tapi bila langgar syarat, PAS tarik sokongan. Tinggalkan semua kerana bila syarat dilanggar, kita tak boleh pertahan. Ini prinsip kita.
Dan setiap kali kita ada kerjasama politik, PAS terpaksa korban, korban tenaga, jentera, duit, kerusi, korban semua. Dengan Semangat 46, kita bagi kerusi, PAS bagi jentera. Dengan Parti Negara bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu. Jentera PAS turun buat kerja, tak apa.
Dengan PKR, kita turun bantu, hatta dengan DAP pun. DAP tak ada pekerja di kawasan pengundi Melayu. UPU Melayu dia tak ada petugas, yang buat kerja orang PAS, tak apa sebab kita ada persefahaman.
Tapi setiap kali kita ada kerjasama, PAS kena korbankan kerusi, satu demi satu lama-lama bila jumlah kita sikit, orang perli kita, jawab, dengar nak bawa Islam, bertanding 60 kerusi, 30 kerusi macam mana? Ada satu kawan kita parti itu, dengar cerita nak bawa Islam Rahmatan Lil ‘Alamin, 27 je? Tak boleh.
Kita muafakat tak boleh kita pukul kawan, muafakat tak boleh merugikan kawan. Di Selangor sebagai contoh, ramai duduk tanya hantar mesej ke saya, dia kata tak boleh ke bincang satu lawan satu? Saya kata ucapan ini, kenyataan ini jangan lontar kepada PAS, kerana yang melanggar yang merosakkan muafakat ini bukan PAS. Mereka pergi serang Kelantan, kalau nak tumbang Umno, Umno dah tumbang (di) Kelantan, tak ada keperluan mereka serang Kelantan.
Tuan-tuan tengok pembahagian kerusi baru ini, kawasan yang kuat PAS diberi kepada PAN, untuk apa? Nak tumbang Umno ke, ke nak bagi tongkat kepada Umno? Sebab itu tuan-tuan sekalian, kita macam disebut oleh Dr Zuhdi tadi, kita bentuk muafakat, muafakat politik ini dia bukan hanya sifat sementara, kadang-kadang kita kena tengok dua tiga lapis akan datang.
PAS bila letak sasaran 40 kerusi Parlimen, insyaAllah untuk kita capai kemenangan, termasuk mengekalkan kemenangan PAS di Shah Alam ini insyaAllah. Bila kita hantar isyarat PAS letak sasaran kemenangan 40, ada orang tanya, kalau dah letak capai 40, kenapa bertanding sampai 130? Kita kata kita turun bertanding dengan kekuatan yang kita ada. Dia kata PAS tak boleh menang. Kita kata, PAS ini ahli kita, cawangan 7000 lebih, semua kita ada cawangan ahli kita. Yang tak ada Cawangan itu agak-agak boleh menang ke?
Kalau mereka tuduh PAS tak boleh menang, kita harus lihat bahawa kekuatan politik ini bukan hanya di atas awang-awangan. Tak apalah, itu satu bahagian. Tapi nak sebutnya, isyarat yang PAS hantar apa dia? Bermakna kalau PAS menang 40 kerusi, insyaAllah dan mudah-mudahan bertambah, bermakna negara ini pada masa depan ialah sebuah negara yang bentuknya akan wujud suatu persefahaman atau gabungan, tak boleh elak.
Kalau PAS 40 kerusi, tak boleh memerintah, mungkin BN sahaja tak boleh memerintah, PH sahaja tak boleh perintah. Jadi siapa nak memerintah? Bakal Perdana Menteri ada dah, ada dah, duduk sebut nama. PAS, kita tegaskan bahawa 40 kerusi yang PAS menangi yang disebut oleh Tuan Guru Presiden bahawa PAS, kita ingin meletakkan politik negara ini tak boleh kita hanya rasa kita sahaja, tapi kita mesti bentuk satu muafakat baru.
Betul tuan-tuan. Sebab itu Islam datang, dia tidak mengekalkan apa yang ada. Kalau Nabi nak cepat menang, Nabi sokong je Rom, buat MoU dengan Rom, Rom beri amaran siapa-siapa serang Nabi Muhammad dan pengikut dia, Rom akan serang dia, Nabi Muhammad selamat. Ataupun Nabi buat MoU dengan Parsi, lagi baik, tapi Nabi S.A.W tidak, dan Nabi beritahu pertembungan tersebut.
Kalau PAS ada 40 kerusi, kita boleh pilih siapa yang kita nak sokong. Waktu itu tuan-tuan, 40 ini mahal, sangat mahal, sebab itu saya minta tuan-tuan nak masuk PAS, masuk sekarang, tengah murah ini, dah mahal payah sikit.
Kalau PAS ada 40 kerusi, 40 jadi kuasa penentu. Siapa yang sokong, dia akan memerintah. PAS nak sokong siapa dia? Kita akan sokong siapa yang terima dasar yang PAS perjuang, dan PAS berjanji PAS tidak akan menganiaya orang bukan Islam, PAS tidak akan menganiaya orang susah, kita akan kembalikan negara ini kepada sistem yang paling adil.
Ini jaminan kita. Mana model dia? Tuan-tuan boleh tengok Kelantan. Tanyalah orang bukan Islam di Kelantan, apa yang mereka tak puas hati dengan Kerajaan Kelantan?
Bulan lepas Kerajaan Kelantan mendapat anugerah lima bintang. Pejabat Menteri Besar dapat markah 99 peratus pengurusan pentadbiran yang terbaik. Perbendaharaan kerajaan Negeri Kelantan dapat 98 peratus. Jabatan Hutan Kelantan dapat anugerah khas, pengurusan hutan yang paling baik di Malaysia. Tapi orang tak berapa semangat sebab bintang, kalau nampak bulan itu ok sikit.
Kita tanya orang bukan Islam, dan ini yang kita nak bawa. Sebab itu bagi kita, pengalaman lampau ini mengajar kita, kita perlu bina negara kita. Sebab itu disebut oleh Dr Zuhdi tadi, siapa yang sama kita? Tak akan orang politik sahaja.
Tuan-tuan, negara kita nak tentu masa depan negara, tak akan bagi orang politik sahaja? Tuan-tuan ingat orang politik sahaja ada hak bagi menentu masa depan negara? Tak. NGO ada hak, individu ada hak, tokoh-tokoh ada hak, pakar-pakar, semua orang ada hak atas negara ini. Gabungan kita memasukkan semua elemen itu. Mari kita duduk bersama, mari kita bincang masa depan negara kita. Tuan-tuan nak negara macam mana? Tuan-tuan nak pemuda macam mana?
PAS belum memerintah, tapi tuan-tuan boleh banding, tengok Pemuda PAS. Hadir dalam program, berlaku musibah bencana apa pun, Unit Amal PAS-lah sampai dulu, tak pernah minta upah, tak pernah minta elaun, tak pernah minta gaji.
Dan hari ini kita ada lebih kurang 100 ribu lebih pelajar PASTI kita. Yang dah keluar hampir 80 ribu. Kita ada anak-anak muda bersama PAS, ARC-nya, Unit Amalnya. Kita bina sama ada kita menang atau tak menang, negara kita mestilah mempunyai generasi yang baik akhlak dia, generasi yang tahu masa depan negara.
Nabi S.A.W sebut dalam Hadis, dan ini yang kita bina. Nabi sebut:
ان الاسلام بدأ غريبا
وسيعود غريباً كما بدأ
فطوبى للغرباء
قال يا رسول الله ومن الغرباء؟
قال الذين يصلحون عند فساد الناس
“Islam bermula dalam keadaan dagang, berakhir dalam keadaan yang juga dagang. Beruntunglah mereka yang dagang itu. Sahabat tanya, siapakah yang dagang yang Nabi maksudkan? Nabi jawab:”
الذين يصلحون عند فساد الناس
“Mereka yang baik di tengah-tengah kerosakan ummah.”
Alhamdulillah anak muda bersama PAS, mereka pergi mana pun, mereka sembahyang tak tinggal, mereka tidak dedah aurat, mereka tidak bergaul bebas, mereka tak terlibat dengan kerosakan akhlak. Ini yang kita bina, sebuah negara yang kita sasarkan:
بلدة طيبة ورب غفور
Sebab itu bagi saya, rasuah penyelewengan ini sebab hati, sebab akidah, sebab akidah. Tuan-tuan tahu yang rasuah ini bukan yang miskin, yang rasuah ini kaya-kaya, gaji berpuluh-puluh ribu sebulan. Dia bukan rasuah sebab duit tak cukup, dia rasuah kerana tamak haloba dalam hati dia. Apa ubat dia? Ubat dia takut kepada Allah.
Manusia bila tak peduli amaran Allah, dia akan makan semua, dia akan tak peduli semua. Sebab itu Nabi datang, Nabi tak ubah rasuah, penyelewengan, tak. Ubah polisi dulu, perbetulkan dasar. Nak ubah dasar dengan BN? Confirm tak boleh. Dengan PH? Tak boleh juga, serupa je. Cuma bezanya BN timbul ekor, PH timbul kepala. Benda sama. Sekali tengok nampak macam buaya, sekali tengok macam naga.
Mudah-mudahan insyaa Allah. Tapi malam ini saya tak sebut isu sangat lah, banyak tadi sahabat-sahabat kita dah sebut, saya sebut prinsip dan dasar-dasar yang perlu kita kena pegang.
Akhir sekali, akhir sama-sama, yang pertama tiga perkaralah.
أوصيكم وإياي
Yang pertama jangan tak ada masa dengan Allah, nanti Allah tak ada masa dengan kita. Sibuk macam mana politik jangan sampai tak bertegur siapa. Politik ini bukan nak musuh, politik mencari kebenaran, mencari kebenaran, mesti balik kepada punca ilmu yang benar, ilmu yang benar Al-Quran, Hadis Nabi S.A.W. Jangan sampai tak ada masa dengan Allah S.W.T.
Yang kedua, kerja-kerja jamaah jaga, sembahyang jamaah jangan tinggal. Sibuk macam mana kita pun, sembahyang jamaah jangan tinggal. Kerja jamaah ambil bahagian walaupun sekadar susun kerusi lepas program, ambil bahagian. Kata Rasulullah:
يد الله مع الجماعة
“Pertolongan Allah itu bersama-sama dengan jamaah.”
Yang ketiga, marilah sama-sama kita berusaha untuk melipat-gandakan kerja kita. Zaman jadi penyokong dah habis, zaman jadi penyokong dah habis. Sekarang kita zaman jadi pekerja, kena buat kerja untuk menangkan Islam. Jangan habis masa dengan remeh-temeh, duduk layan facebook, orang duduk tuduh macam-macam ini, dia tak habis, tak selesai.
Macam ibarat main bola, jangan sibuk cabut kemuncup yang lekat di baju, lekat di stokin lekat di seluar, main bola dulu. Habis main baru cabut kemuncup. Ini tengah main, penjaga gol cabut kemuncup? Jangan habis masa duduk layan benda-benda yang tak bermanfaat dan kalau tuan-tuan ada rakan-rakan facebook yang jenis bahasa kasar, buang jelah.
Kita ini nak baca benda baik. Kalau benda-benda tulisan maki hamun, cerca yang tak berakhlak ini, orang tak akhlak tak usah kita pergi terlibat. Kita jangan terlibat dengan benda yang tak ada akhlak ini. Sebab yang kita tulis, kita kena jawab di akhirat. Yang kita posting, kita kena jawab, biar jadi pahala. Biar posting benda yang baik.
Sebab itu yang boleh baca Quran, jangan tinggal Quran. Yang boleh baca, kena ada surah yang sedang kita hafal setiap waktu. Yang tak boleh baca, minta maaf, ikhtiarlah belajar. Kalau facebook boleh baca, twitter boleh baca, whatsapp boleh baca, tiba-tiba Quran tak boleh baca? Rasa malu kita dengan Allah Taala. Surat khabar baca tiap-tiap hari, handphone baca tengok tiap-tiap hari, tiba-tiba Quran tak buka.
Yang dah boleh baca Quran, tiap-tiap waktu kena ada surah yang tuan-tuan sedang hafal. Ikhtiarlah. Mungkin satu surah hari ini kita azam, baca empat ke lima ayat dulu, sehari dua hari lima hari hafallah. Mudah-mudahan bertambah hafalan kita, bertambah dekat kita dengan Allah S.W.T, dan insyaAllah mudah-mudahan buat kerja sungguh-sungguh. Dan insyaAllah saya datang kali kedua lepas ini insyaAllah datang untuk meraikan kemenangan kita di sini insyaAllah. Wallahua’lam.
(Transkrip oleh Pelatih Harakah, ZAID MD ADHAR dan suntingan oleh Penolong Pengarang Harakah, IZWAN ABDUL HALIM dari ucapan Timbalan Presiden PAS pada Ceramah Umum PAS Shah Alam, 11 Januari 2018 di Dataran Gerai MBSA, Jalan Mat Raji, Padang Jawa, Shah Alam)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE