Wanita UMNO Tidak Akan Gugur – Shahrizat

KUALA LUMPUR 6 Dis. – Wanita UMNO hari ini menegaskan sokongan pergerakan itu terhadap kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sambil memberi jaminan akan memikul amanah sebagai ‘ibu terbaik bangsa’ untuk memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pergerakan itu menerusi Jalinan Rakyat Plus (JRPlus) akan menerajui jentera parti bagi menjalankan tugas-tugas mencari, merayu dan mengekalkan undi bahkan memecahkan undi di mana-mana yang perlu.

Tegas beliau, kekuatan 1.47 juta ahli Wanita kini adalah dalam keadaan terbaik malah sokongan daripada akar umbi juga adalah yang terkuat sepanjang lebih 70 tahun usia pergerakan itu.

“PRU-14 ini adalah medan yang akan kita tempur. Janji Wanita UMNO dan BN, kita tidak akan gugur,” tegasnya lantang sambil disahut sorakan dan tepukan bergemuruh 973 perwakilan sayap itu ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Shahrizat turut mengumpamakan perjuangan pergerakan itu yang sudah berusia lebih 70 tahun tetapi tahan diuji sebagai berlian yang amat bernilai.

Beliau berkata, Wanita bukan kaca apatah lagi sekadar buih di lautan, sebaliknya mampu menjadi gelombang yang menggunung dalam mengharung fitnah demi negara yang tertegak gagah.

Dalam hal ini, Shahrizat berjanji yang Wanita UMNO bersama-sama Pemuda, Puteri dan parti komponen BN akan berganding bahu menegakkan aspirasi Perdana Menteri.

“Insya-Allah, selagi kita berdiri atas nawaitu (niat) yang satu, demi agama, bangsa dan negara, UMNO terus kukuh mengemudi pertiwi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE