Slogan Khusus Sabah, Sarawak Bertentangan Perlembagaan

KUALA LUMPUR: Tindakan segelintir pihak yang menghasut rakyat dengan slogan ‘Sabah Untuk Sabah’ dan ‘Sarawak Untuk Sarawak’ adalah bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata tindakan bermain api untuk mewujudkan anarki dan ketidakstabilan negara seharusnya ditentang.

“Hati nurani rakyat Sabah dan Sarawak mahu terus berada dalam Persekutuan Malaysia.

“Bak kata orang tua-tua bertelingkah antan di lesung, ayam juga yang kenyang. Janganlah sampai kita menanggung derita akibat permainan dan hasutan campur tangan asing kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Persidangan Sayap-Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam ini.

Beliau mengingatkan bahawa itu adalah kesalahan yang amat serius dan mereka yang terbabit boleh dihukum dengan hukuman yang berat.

Beliau berkata, semua ini terjadi apabila ada pemimpin yang terperangkap dalam percaturan dalang-dalang politik yang bankrap idea dan muflis jiwa.

“Kerana asakan gelojoh nafsu dan serakah politik bertuankan tok dalang ini mereka rela menjadi bidak-bidak di papan catur,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kesan percaturan politik yang menafikan kesejagatan bangsa mengakibatkan kedaulatan negara ke atas Pulau Batu Putih atau Pedra Branca terkubur.Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE