Pentadbiran Najib Beri Peluang Mahasiswa Berpolitik

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) — Mahasiswa Nasional hari ini menzahirkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan UMNO yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memberi peluang kepada mereka berpolitik dan menyediakan platform untuk menyuarakan pendapat kepda pemimpin.

Wakil Mahasiswa Nasional Ammar Adnan yang juga Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Ammar Adnan berkata pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 mengubah landskap dalaman universiti dengan membolehkan mahasiswa terlibat dengan politik dan berinteraksi tanpa halangan.

“Dahulu, mahasiswa yang nak berpolitik terpaksa sorok-sorok. Kini mahasiswa sudah bebas dan boleh hinggap mana-mana ‘pokok’ untuk buat ‘sarang’. Hari ni Perdana Menteri menyediakan banyak pokok seperti Persidangan Kepemimpinan Mahasiswa Nasional (Pemanas), Mahasiswa Turun Parlimen (Mantap) dan Felo Perdana.

“Inilah pemimpin hebat kerana memberi anak muda peluang dan tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri kerana menganggap kami sebagai aset UMNO dan bukannya pesaing,” katanya semasa membahaskan usul ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Sambil menyifatkan Najib yang juga Presiden UMNO sebagai juara mahasiswa, beliau berkata perdana menteri berjumpa dengan golongan penuntut itu hampir setiap bulan dan berusaha bertemu dengan mahasiswa Malaysia di luar negara setiap kali beliau ke luar negara.

“…saya katakan perdana menteri adalah juara mahasiswa. Inilah perdana menteri yang dekat dengan hati orang muda,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan kerajaan mempertimbang langkah yang dapat mengurangkan masalah kewangan mahasiswa dalam usaha mengurangkan beban kos sara hidup yang meningkat pada masa ini.

Ammar berkata antara langkah yang boleh diambil kerajaan adalah dengan memberikan subsidi minyak kepada mahasiswa yang menunggang motosikal berkapasiti enjin di bawah 150cc.

“Langkah ini mampu mengurangkan bebanan kos ditanggung mahasiswa masa kini. Bantuan boleh didebitkan ke dalam kad Bank Rakyat mahasiswa di mana (penggunaan) hanya (disyaratkan) di stesen minyak Petronas,” katanya.

Ammar turut menarik perhatian para perwakilan dengan menyarankan kerajaan mempertimbang pengecualian bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada graduan yang mendapat ijazah kelas 2 atas, seperti yang dinikmati pemegang ijazah sarjana muda kelas pertama ketika ini.

“Kita tahu kerajaan sentiasa beri perhatian kepada keluhan rakyat terutama kumpulan B40 termasuk memberi kemudahan pendidikan. Sebenarnya masih ramai lagi yang bukan mampu, ditambah pula dengan bebanan hidup masa kini,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE