Pemuda Tekad Laksana Tugas Hingga Berjaya

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO meletakkan tekad tinggi memastikan setiap amanah dipertanggungjawab bagi menarik pengundi baharu supaya menyokong Barisan Nasional (BN) dilaksana hingga berjaya.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata taklimat tertutup oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak siang tadi memberi rangsangan kuat kepada sayap pemuda untuk melipatgandakan gerak kerja di semua peringkat.

“Naib Presiden (UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) juga sudah memberi tugasan kepada sayap dan ia akan dilaksana secepat mungkin dan tidak ada usaha untuk melengah-lengahkan tindakan kita.

“Tugasan kita sudah ada. Kita ada 1.3 juta pengundi muda Melayu. Ini yang menjadi fokus pemuda UMNO,” katanya ditemui selepas tamat Perasmian tiga sayap UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri, sebentar tadi.

Khairy yang juga pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) menjelaskan ucapan Ahmad Zahid yang mengetengahkan Lembayung Arjana Bangsa memberi gambaran sebenar kepada imej keterangkuman bangsa Melayu.

“Ucapan beliau cukup bermakna dan merangkumi harapan pengundi Melayu secara keseluruhannya terhadap UMNO,” katanya.

Mengulas mesej Presiden UMNO petang tadi mengenai beri peluang kepada calon muka baru diketengah dalam Pilihan Raya Umum akan datang, beliau menyifatkan ia satu petanda positif.

“Itu satu petanda yang baik iaitu apabila daripada pucuk pimpinan parti menyatakan bahawa kita perlu bersedia untuk melihat lebih ramai calon baru yang tidak semestinya orang muda akan diketengahkan. Kita harus terima secara terbuka,” katanya.-Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE