Kenali Durian Musang King

KUALA LUMPUR: Durian Musang King atau nama asalnya Raja Kunyit, mempunyai isi berwarna kuning pekat, durinya bersegi, sementara pangkal tangkainya tidak berduri dan garisan pangsa jelas pada kulit.

Penolong Pengarah Bahagian Hortikultur Jabatan Pertanian Serdang, Mohd Auzaie Komarudin, berkata itu antara ciri-ciri utama durian D197 yang didaftarkan di Jabatan Pertanian pada 1993.

Beliau berkata, masyarakat Cina tempatan gemar menggelarkan raja buah itu sebagai Mao Shan Wang, yang bermaksud ‘raja kucing gunung’ iaitu merujuk kepada bentuk isi durian yang mirip seekor kucing sedang tidur.

“Panggilan itu terus digunakan secara meluas sehingga perkataan ‘Mao Shan’ ditukar kepada sebutan Musang dan ‘Wang’ ditukar kepada King sehingga dikenali sebagai Musang King hingga kini,” katanya mengenai durian itu yang banyak didapati di Raub, Pahang.

Beliau berkata untuk itu, pembeli perlu berhati-hati membeli durian Musang King supaya tidak ditipu penjual.

“Musang King yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan lebih lonjong seperti bola ragbi berbanding baka lain yang berbentuk bulat, selain mempunyai corak seakan-akan bintang pada bawah buahnya,” katanya ketika ditemui di Ladang Bandar Jabatan Pertanian, Serdang, di sini hari ini.

Mohd Auzaie berkata, isi durian Musang King lebih tebal ditambah rasa lemak yang pahit sedikit dan bijinya pula kecil berbanding baka lain.

“Musang King cukup diminati penggemar durian sehingga dijual agak mahal, bermula RM50 sekilogram di pasaran atau 30 hingga 40 peratus lebih mahal daripada jenis durian yang lain.

Terdapat sesetengah peniaga cuba mengaut keuntungan mudah dengan mendakwa menjual Musang King, walhal ia baka lain,” katanya.

Beliau berkata, pembeli perlu memeriksa ciri-ciri durian itu terlebih dahulu sebelum membelinya bagi mengelakkan ditipu.

Bagi mengenali baka anak pokok Musang King pula, beliau berkata, pokok duriannya memiliki daun yang lebih nipis, berbentuk tirus dan beralun sedikit.

“Anak pokok ini sesuai untuk ditanam di tanah terbuka apabila sudah mempunyai sekurang-kurangnya lapan helai daun dan kebiasaannya hasil tanaman boleh mula dinikmati seawal lima tahun selepas ditanam,” katanya.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE