Gelagat ‘Ayah Mentua dan Menantu’ Gamatkan Dewan

KUALA LUMPUR: Suasana perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2017 pagi ini dipenuhi gelak ketawa dengan gelagat ‘ayah mentua dan menantu’ antara Pengerusi Tetap, Tan Sri Badruddin Amiruldin dan wakil Puteri, Noor Aiza Hassan.

Ia bermula apabila Badruddin menawarkan diri untuk menjadi ‘orang tengah’ kepada Ketua Puteri UMNO Bayan Baru itu yang memaklumkan kepada dewan bahawa beliau belum berpunya ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden.

Badruddin berkata, sebagai ‘orang tengah, beliau perlu memerhatikan kelakuan Noor Aiza, yang kemudian disambut wakil Puteri itu dengan serangkap pantun.

“Pi mai pi mai tang tu, tang tu balik pintu, Tan Sri jangan lagu tu, kot-kot la boleh jadi menantu,” kata Noor Aiza yang sekali gus menggamatkan seluruh dewan.

Badruddin segera membalas bahawa beliau akan bertanya kepada anaknya.

Nor Aiza turut menujukan pantun berbunyi “Penang bah, Guan Eng gelabah, sikit ja lagi ‘abah” kepada Badrudin ketika diminta mempercepatkan perbahasannya.

Ketika Noor Aiza mencadangkan supaya UMNO memperkenalkan insurans berkelompok untuk ahli ketika menjalankan tugas parti, Badruddin turut berseloroh mengatakan premium insurans untuk wakil Puteri itu kemungkinan lebih tinggi.

“Sebab itu saya cadang (insurans) ikut kelompok Tan Sri sebab dia tak kira ikut kilogram, dia ikut kepala,” balas Noor Aiza yang disambut gelak ketawa seluruh perwakilan.

Badruddin yang turut ketawa dengan jawapan itu kemudian membalas: “Loyar buruk… lari pak mentua”.

Ketika perbahasannya, Noor Aiza turut membuat beberapa cadangan termasuk meminta kerajaan negeri tidak memberikan lesen kepada hotel yang melarang pemakaian tudung, mewujudkan mekanisme menghalang warga asing menikmati subsidi kerajaan dan mencari formula bagi pelaksanaan bekerja dari rumah untuk wanita.-Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE