Wanita UMNO Adakan Bacaan Yassin, Tahlil Untuk Allahyarham Maznah

KUALA LUMPUR: Wanita UMNO akan mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yassin di semua 191 kawasan Parlimen susulan pemergian Datuk Maznah Hamid, petang tadi.

Ketua pergerakan itu, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, berkata program itu akan diadakan menerusi Skuad An-Nur.

“Doa kami mengiringi Allahyarhamah semoga rohnya ditempatkan di jannah bersama orang-orang yang beriman,” katanya dalam kenyatan hari ini.

Shahrizat berkata beliau mewakili Wanita UMNO merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga di atas pemergian Maznah yang juga EXCO pergerakan merangkap Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerlun.

“Kehilangan Allahyarhamah amat dirasai oleh setiap insan yang mengenali beliau terutama kami Wanita UMNO kerana keberanian, semangat setia kawan dan aura positif yang sentiasa dibawa dalam dirinya.

“Beliau bukan sahaja seorang srikandi tetapi juga seorang pemimpin yang amat dihormati dan disayangi.

“Negara kehilangan seorang srikandi yang cekal dan gigih dalam membuktikan bahawa wanita mampu berjaya dalam pelbagai bidang di pentas dunia.

Pemergian Allahyarhamah meninggalkan kekosongan yang cukup mendalam di jiwa seluruh ahli Wanita UMNO,” katanya.

Maznah yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce Sdn Bhd meninggal dunia jam 6 petang tadi. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, selepas dimasukkan ke wad berkenaan bagi merawat komplikasi jantung yang dihidapinya.-Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE