Mesir Mengakhiri Kemarau Ke Piala Dunia

KAHERAH: Ibu kota Mesir meriah dengan sambutan bunga api bagi meraikan kejayaan negara itu layak ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 28 tahun selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas Congo pada aksi kelayakan, awal pagi tadi.

Pemain sayap, Mohamed Salah menjaringkan kedua-dua gol untuk memberikan Mesir kelebihan empat mata berbanding pasukan tempat kedua ketika saingan hanya berbaki satu perlawanan.
Ia menamatkan penantian cukup lama ketika kali terakhir negara yang memiliki populasi Arab tertinggi di dunia itu beraksi di pusingan akhir pada 1990 di Itali.

“Selepas 28 tahun akhirnya kami menyertai Piala Dunia. Ini adalah hari sambutan seluruh negara,” kata seorang penyokong, Gaber Fathy.

“Kamu boleh lihat di sekeliling orang ramai begitu gembira. Situasi ini tidak pernah dilihat di Mesir,” kata Gamal Mohamed ketika ditemui di Dataran Tahrir.
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat negara itu yang menjadikan seluruh jalanan bertukar menjadi merah, putih dan hitam.

Di Gaza, ribuan penduduk Palestin turut meraikan kejayaan Mesir muncul negara Arab kedua layak selepas Arab Saudi. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE