Kes Jong-Nam: Dua Wanita Asing Sapu Cecair Beracun – Pendakwaan

SHAH ALAM 2 Okt. – Pihak pendakwaan dalam kes bunuh lelaki warga Korea Utara, Kim Jong-nam akan membuktikan bahawa tindakan wanita Indonesia, Siti Aisyah dan warga Vietnam, Doan Thi Huong menyapu cecair beracun kepada mangsa telah menyebabkan kematian mangsa.

Pengarah Pendakwaan Selangor, Muhammad Iskandar Ahmad juga dalam ucapan pembukaannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini menyatakan, melalui keterangan langsung akan membuktikan kedua-dua wanita itu mempunyai niat bersama-sama empat lagi lelaki masih bebas untuk membunuh lelaki warga Korea Utara itu.

Pendakwaan juga akan membuktikan Siti Aisyah dan Thi Huong telah menjalani latihan ‘prank’ atas seliaan empat lelaki yang masih bebas sebagai persediaan untuk membunuh Jong-nam.

Terdahulu, Hakim Datuk Azmi Ariffin merekodkan pengakuan tidak bersalah kedua-dua tertuduh.

Siti Aisyah, 25, dan Thi Huong, 28, didakwa bersama-sama empat yang masih bebas membunuh Kim Chol, 46, di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2),Sepang pada 9 pagi, 13 Februari lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dilaporkan Jong-nam yang hidup terasing daripada adiknya itu, berada di KLIA2 pada 13 Februari lalu untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dua wanita menghampirinya dan tiba-tiba menyapu mukanya dengan cecair bertoksik yang kemudiannya dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

Jong-nam, yang melakukan perjalanan dengan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya. Beliau datang ke Malaysia pada 6 Februari lalu.-UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE