Jenazah Syzlin Akan Dibawa Pulang

KUALA LUMPUR: Warga Malaysia yang pernah dipenjara kerana menjadi keldai dadah dan dilaporkan meninggal dunia di Peru semalam, akan dibawa pulang ke tanah air kira-kira dua minggu lagi.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO (BiKUM), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata pihaknya akan meminta bantuan pihak Kedutaan Malaysia di Peru bagi menguruskan hal berkaitan sebelum membawa pulang jenazah Shyzlin Hataman, 43.

“Cara itu lebih mudah kerana urusan pengebumian di sana membabitkan beberapa prosedur yang perlu dipatuhi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Shyzlin disahkan meninggal dunia pada jam 6.50 petang waktu Peru semalam atau 7.50 pagi waktu Malaysia.

Waktu Malaysia adalah 13 jam awal berbanding Peru.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Nacional dos de Mayo kerana komplikasi beberapa penyakit selepas dimasukkan ke wad beberapa hari lalu.

Syzlin yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa, dipenjara dan terkandas di Lima, Peru sejak lapan tahun lalu.

Berasal dari Johor, Allahyarham dibebaskan daripada hukuman pada Mei lalu tetapi proses membawanya pulang tergendala berikutan menghadapi masalah dihadapi.

November tahun lalu, BH menyiarkan laporan eksklusif dari Peru mengenai rayuan Syzlin dan dua lagi rakyat Malaysia, Noor Suzanna Azmi, 35, serta Noor Aziman Sapie, 37, yang meminta ihsan orang ramai membantu membawa mereka pulang.

Kisah sedih Allahyarhamah mendapat perhatian umum apabila dilapor meringkuk dalam penjara lebih empat tahun kerana menyeludup dadah sebelum ditempatkan di sebuah gereja negara itu, yang menjadi tempat tinggalnya susulan masalah kesihatan dihadapi.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, Noor Azimah dan Noor Suzanna juga akan dibawa pulang tetapi memerlukan masa lebih panjang berikutan isu anak dan pasangan warga Peru-Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE