Wakil DAP Sertai Dialog Anjuran UMNO

BUKIT MERTAJAM: Dialog Perjuangan4All anjuran UMNO di Wisma Transformasi Permatang Pauh di sini, malam ini mencipta ‘kelainan’ apabila turut disertai wakil kerajaan DAP Pulau Pinang.

Pegawai Penerangan Ketua Menteri, Zaidi Ahmad, yang juga bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat mejar, mengajukan soalan provokatif kepada ahli panel program berkenaan.

Zaidi mengajukan soalan mengenai laporan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, dalam jawapannya, berkata Amerika Syarikat sebagai sebuah kuasa paling berpengaruh dunia, pernah mengandaikan Iraq menyimpan senjata kimia, sebelum negara teluk itu akhirnya musnah akibat peperangan.

“DoJ baru keluar laporan, belum buka kes dan belum ada afidavit. Bagaimana dengan Ketua Menteri (Lim Guan Eng) yang sedang didakwa di mahkamah tetapi masih meneruskan tugasnya di pejabat seperti tiada apa-apa,” katanya.

Selain Annuar, program itu turut menampilkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah sebagai ahli panel, manakala Datuk Shamsul Najmi Shamsudin bertindak sebagai moderator.

Bercakap kepada pemberita selepas program itu, Annuar berkata tindakan Zaidi itu membuktikan DAP kini bersifat lebih agresif terhadap lawan politiknya.

“Di negeri lain ada juga peserta program daripada parti pembangkang, tetapi kebanyakan mereka adalah ahli biasa dan tiada jawatan tinggi seperti Zaidi.

“Tetapi di Pulau Pinang ada kelainan sedikit. DAP nampaknya lebih agresif, namun tidak mengapa, kerana saya suka soalan bersifat provokatif,” katanya.-Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE