Siti Noor Radiah Ismail Raih Pingat Emas

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Ketiadaan juara bertahan Rica Oktavia dari Indonesia dimanfaatkan dengan baik oleh Siti Noor Radiah Ismail apabila berjaya meraih pingat emas pertamanya dalam Sukan Para ASEAN dengan menjuarai saingan lompat jauh wanita T20 (masalah pembelajaran), hari ini.

Siti Noor Radiah menamatkan saingan akhir lompat jauh T20 dengan catatan 4.99 meter, menewaskan rakan senegara Nani Shahiera Zawawi yang meraih pingat perak menerusi catatan 4.78m. Gangsa milik atlet Indonesia, Tiwa selepas sekadar berupaya melakukan lompatan sejauh 4.66m.

Pemenang pingat gangsa Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro itu berkata, pingat emas kali ini amat bermakna kepadanya kerana dapat membuktikan keupayaan di peringkat Asia Tenggara selepas sekadar meraih perak dalam Sukan Para ASEAN 2015 di Singapura di mana dia tewas kepada Rica.

“Saya tidak tahu mengapa Rica tidak turut serta kali ini dan apabila mengetahui dia tidak menyertai membuatkan saya lebih bersemangat untuk mendapatkan pingat emas kerana sebelum ini atlet dari Indonesia itu adalah pencabar utama saya.

“Kejayaan saya ini juga adalah hasil kerja keras semasa latihan dan saya hadiahkan kemenangan ini kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong atlet paralimpik,” katanya selepas tamat saingan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.Atlet dari Segamat, Johor itu berkata, tumpuannya selepas ini adalah untuk terus mempamerkan prestasi terbaik terutama di peringkat lebih tinggi lagi selepas bebas daripada kecederaan yang memperlahankan rentak lariannya ketika beraksi dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia di London, Julai lalu.

“Salah satu faktor kemenangan saya hari ini adalah bebas daripada kecederaan, malah semangat saya hari ini amat bagus.

“Selepas ini saya akan cuba memperbaiki catatan peribadi terbaik saya dalam kejohanan yang bakal disertai nanti,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE